Dec 30, 2011

Saka, Sihir, Jampi dan Pawang

Di sini saya coretkan cerita berkaitan saka, sihir, jampi dan semua yang berkaitan dengannya setakat pengalaman saya yang cetek ini.


Penampilan Pesakit
Air muka orang yang mewarisi saka atau dihasuti saka agak keruh, menyerabutkan, seram dan muram. Ini sangat berbeza dengan keadaan setelah saka atau jin tidak lagi bertandang dalam jasadnya. Air muka lebih jernih dan senang dipandang.

Bagi individu yang lanjut usia atau telah tua, percakapannya agak sukar difahami. Terutamanya yang berada di peringkat nyanyuk. Berbeza dengan percakapannya setelah ditinggalkan oleh saka, walaupun percakapannya tidak normal, tapi ianya masih mampu difahami dan agak sedikit jelas.

Proses Menghalau Saka, Sihir, Susuk Dan Sebagainya
Semasa proses menghalau sesuatu saka, pesakit akan meraung-raung dengan suara yang sangat kuat dalam pelbagai itonasi dan gaya. Ber'oooo..., ber'aaaa... dan bermacam-macam lagi dengan tangan dan kaki yang mendepa dan terbuka.

Biasanya proses menghalau saka itu memakan masa dua atau tiga jam. Bergantung kepada keadaan saka dan pesakit. Saka juga biasanya sukar untuk berpisah dengan pesakit. proses biasanya dilakukan selepas waktu maghrib atau isyak. Dan sebaiknya saka itu akan keluar dari badan pesakit melalui kaki kiri. Saka sukar untuk keluar kerana dia akan mohon mana-mana keturunan pesakit untuk menerimanya sebagai "rumah" baru. jangan sekali-kali mana-mana keturunan yang sanggup menerima saka itu. kesanggupan akan menyebabkan saka itu bertandang dalam diri keturunan itu pula.

Selain itu, proses menghalau saka ini juga akan melibatkan bantuan orang berdekatan dengan pesakit seperti suami dan anak. Mereka akan diminta membantu dalam proses ini dengan membaca 41 kali ayat qursi selain mengazankan ke telinga pesakit. Pesakit pada ketika ini akan meraung-raung dengan sangat kuat. Jika pesakit adalah seorang isteri, maka redo suami selama hidup bersama akan dipohon.

Saka tidak boleh dimatikan, dibunuh atau dipenjarakan. Juga tidak boleh disimpan dalam botol dan dibuang ke dalam laut. Cukuplah dengan menghalaunya dan tidak mengacau keturunan seterusnya lsgi.


Bomoh dan Pawang

Bomoh atau pawang yang benar adalah yang tidak mengambil upah samada dalam bentuk wang atau lain-lain pemberian. Jika dihulurkan wang pun mereka akan tetap menolak kerana itulah syarat untuk mereka berikhtiar. Namun, ada juga bomoh atau pawang yang menerima bayaran dengan niat pemberian itu adalah merupakan sedekah atau sumbangan ikhlas dari pesakit.Mereka juga menggunakan ruqyah dari ayat-ayat al-quran dengan bacaan tajwid dan susunan ayat al-Quran yang betul.tidak menggunakan apa-apa objek seperti penemuan jarum, tulang, kain kuning dan lain-lain. Baik penampilan dan tutur bicara. Bomoh dan pawang yang sebenar mampu menghalau saka dan tidak membenarkan saka mewarisi kepada keturunan seterusnya dengan izin Allah. Sebaliknya, bomoh dan pawang yang tidak benar hanya mampu menghalau saka buat sementara waktu sahaja. Cukup setelah menerima bayaran dan saka itu akan kembali semula.

Saka, Sihir, Susuk Masakini
Dalam dunia masakini, saka, sihir, susuk masih berlaku. terutamanya dikalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. kerana mereka adalah generasi melayu yang terlibat dengan aktiviti ini pada zaman muda mereka dahulu.mungkin kerana kurang penekanan para ulama dan ustaz pada waktu itu tentang bahaya syirik dan seumpamanya kepada masyarakat. Selain itu, perkara ini juga turut menimpa golongan muda masakini terutama yang mewarisi saka tersebut secara langsung atau tidak langsung.

Masih Ada Yang Ingin Membantu
setakat ini sahaja yang saya boleh kongsikan dengan anda. Apa yang penting, semoga kita dijauhkan dari perbuatan syirik kepada Allah. Jika anda, ibubapa atau datuk anda berhadapan dengan masalah tersebut, anda boleh menghubungi saya. Saya ada kenalan yang pada saya menggunakan perubatan Islami. Niat saya hanya mahu juruskan anda dengan bomoh yang menggunakan cara perubatan Islami dan menjauhkan anda dari terjebak dengan perkara-perkara syirik. Bomoh, doctor, pakar perubatan, adalah istilah yang sama.


MUHAMMAD TORIQ BIN YAACOB
toriq25@gmail.com
toriq_25@hotmail.com