Jan 28, 2015

AYAT-AYAT MEKAH DAN MADINAH



Para ulama mendefinisikan al-Quran adalah Kalam Allah, diturunkan kepada nabi Muhammad SAW dan menjadi ibadah apabila dibacakan.  Daripada definisi tersebut, terungkaplah gambaran bahawa al-Quran merupakan kitab panduan ungggul menjadi sumber kemajuan tamadun manusia.

Dalam perkembangan ilmu al-Quran, para ulama khususnya ulama ulum al-Quran turut mengemukakan tajuk membincangkan ayat-ayat Mekah dan Madinah. Hal ini relevan kerana al-Quran telah melalui sejarah penurunan di kedua-dua tempat suci tersebut. 

Pengertian Ayat Mekah Dan Ayat Madinah
Walaubagaimanpun, terdapat tiga pandangan ulama  berkaitan dengan makna ayat Mekah dan Madinah. Syeikh Manna’ al-Qattan di dalam Kitabnya Mabahaith Fi Ulumul-Quran menyatakan pendapat pertama menyatakan bahawa ayat Mekah bermaksud ayat-ayat yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah baginda nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Manakala ayat Madinah pula bermakna ayat-ayat yang diturunkan selepas hijrah walaupun lokasi penurunannya di Mekah. Seperti ayat 58 surah al-Nisa’ yang diturunkan pada tahun pembukaan Kota Mekah. Pendapat ini menilai aspek zaman penurunan al-Quran tersebut. 

Pendapat kedua, ayat Mekah ialah ayat yang diturunkan di Mekah dan lokasi berhampiran dengannya seperti di Mina, Arafah dan Hudaibiyyah. Manakala ayat yang dikategorikan sebagai ayat Madinah ialah ayat al-Quran yang diturunkan di Madinah dan lokasi berhampiran dengannya seperti di Uhud dan Quba’. Pendapat ini meletakkan lokasi penurunan ayat sebagai ukuran. Pendapat yang ketiga pula mendefinisikan ayat Mekah ialah ayat yang ditujukan kandungannya kepada penduduk Mekah. Dan begitulah sebaliknya ayat Madinah ditujukan kepada penduduk Madinah. Contoh yang dikemukakan adalah seperti ayat yang menyeru “wahai  manusia” adalah ayat dalam kategori Mekah. Manakala ayat yang dimulakan dengan “wahai orang-orang yang beriman” adalah ayat Madinah. 

Gaya Bahasa Dan Kandungan Mesej Ayat Mekah
Dalam menyampaikan mesej, al-Quran mempunyai gaya bahawa yang berbeza antara ayat Mekah dan ayat Madinah. Antara ciri gaya bahasa ayat Mekah ialah pertama, seruan dakwah kepada mentauhidkan Allah SWT, mengukuhkan kebenaran risalah nabi Muhammad SAW, kebenaran mesej hari kebangkitan dan pembalasan, mengemukakan gambaran hari Kiamat dan suasananya, neraka dan azabnya, syurga dan kenikmatannya, perdebatan kaum Musyrikin dan kandungan penghujjahan logikal kepada mereka. 

Kedua, meletakkan asas umum perundangan syariat dan kelebihan nilai akhlak yang menjadi asas pembangunan masyarakat seperti isu memakan harta anak yatim sebagai satu kezaliman, kezaliman menanam anak hidup-hidup dan sebagainya. 

Ketiga, menampilkan kisah-kisah nabi dan para rasul terdahulu sebagai mesej peringatan untuk dijadikan pengajaran tentang kesudahan kaum terdahulu yang menentang. Keempat, menampilkan kandungan ayat ringkas dengan kekuatan lafaz sehingga memberi kesan kepada pendengar bahkan boleh menberi kesan mendalam kepada hati mereka. 

Gaya Bahasa Dan Kandungan Mesej Ayat Madinah
Bagi ayat-ayat Madinah pula, gaya bahasanya adalah mengandungi tajuk-tajuk muamalat, ibadat, hudud, perundangan kekeluargaan, harta pewarisan, kelebihan berjihad, solat berjemaah, hubungan diplomatik antara kerajaan dalam kontek peperangan dan perdamaian.Kedua, mengemukakan bicara ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani serta penolakan mereka tentang kebenaran risalah. 

Selanjutnya, ayat-ayat Madinah juga membongkar sifat-sifat dan ciri orang munafik dan amaran tentang bahaya mereka kepada agama. Akhir sekali, ayat-ayat Madinah tampil dengan ayat-ayat panjang dengan gaya bahasa memperkukuhkan syariat menjelaskan tujuannya.

Faedah Mengetahui Ayat-Ayat Mekah dan Madinah
Perbahasan ulama tentang ayat-ayat Mekah dan Madinah telah meninggalkan faedah yang tersendiri. Antaranya ialah, menjaga al-Quran dalam kontek pentafsiran. Hal ini kerana, pengetahuan tentang tempat turun ayat tersebut akan membantu dalam memahami tafsiran sebenar. Selain itu, pengetahuan ini juga akan memberi kesan kepada aspek dakwah terutamanya kesan gaya bahasa al-Quran itu sendiri. Bahkan memberi panduan kepada para pendakwah menggunakan uslub dakwah berkesan kepada sasaran dakwah mereka. Akhir sekali, pengetahuan tentang ilmu ini juga dapat menyusuri sirah nabi Muhammad SAW. Kita akan dapat mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku berserta dengan masanya. Bermula dari awal penurunan wahyu sehingga akhir ayat yang diturunkannya seakan tergambar kepada kita seluruh perjalanan dakwah Baginda SAW.

Demikianlah antara panduan yang telah dikemukakan oleh para ulama tentang ayat-ayat Mekah dan Madinah. Sumbangan ulama ini pastinya mampu memberi sumbangan besar kepada dunia Islam dalam meletakkan al-Quran sebagai sumber teras menjadikan Islam agama membawa keamanan ke seluruh dunia.

#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 19, Tahun ke-7, 2012.

KESYUMULAN MAKNA IBADAH



Ibadah seringkali hanya digambarkan dengan aktiviti mendirikan solat, tazkirah, zikir, qiamullail dan sebagainya. Aktivi harian lain seperti memandu kenderaan, menghadiri mesyuarat, bersukan, berkebun dan sebagainya pula seringkali dianggap sebagai urusan dunia. Hanya masjid tempat ibadah sedangkan pejabat dan lokasi kerja lain bukan tempat ibadah. Begitu juga keadaannya dengan mereka yang berada di tikar sejadah adalah mereka yang sedang melakukan ibadah. Sedangkan mereka yang berada di kerusi pejabat adalah mereka yang sedang menguruskan urusan dunia. Tanpa menafikan bahawa solat adalah ibadah, namun adakah aktiviti lain tidak termasuk dalam pengertian ibadah.

Pengertian Ibadah
Menurut Dr. Abdul Aziz Abdullah al-Humaidi di dalam kitab karangannya Rasaail Syumuliyyah, ibadah dari sudut bahasa ialah merasa terhina dan tunduk patuh. Dari sudut syara’ pula, ibadah membawa makna pemusatan aktiviti kepada Allah  dengan melaksanakan syariat-Nya yang terhasil dari kesempurnaan perasaan hina diri, tunduk patuh, taat dan cinta.
Memetik definasi yang diberikan oleh Ibnu Taymiyyah, Dr. Wahbah Zuhaili menukilan makna ibadah dalam kitabnya Fiqhul Islam Wa Adillatuh bahawa ibadah itu adalah kata nama yang umum yang merangkumi semua perkara yang disukai Allah  dan yang diredai-Nya samada dari perkataan atau perbuatan yang zahir atau yang tersembunyi.

Maka dengan ini, merangkumi pengertian ibadah adalah solat, zakat, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran, berzikir dan berbuat baik kepada anak yatim. Juga termasuk dalam pengertian ini ialah perasaan takut kepada Allah, cintakan Allah  dan Rasul-Nya, bersyukur dengan nikmat dan redo dengan ketentuanNya.

Bahagian Ibadah
Menurut Dr. Abdul Aziz lagi, Ibadah mempunyai tiga bahagian. Bahagian pertama ialah
amalan hati seperti bertawakkal, mengharap dan takut kepada Allah serta sifat sabar. Bahagian kedua ialah ibadah-ibadah zahir yang biasa dilihat seperti pergerakan dalam solat, perbuatan menunaikan zakat, melaksanakan tuntutan puasa dan sebagainya.
Bahagian ketiga pula ialah semua perkara yang boleh menghasilkan pahala bila melakukannya atau meninggalkannya. Amalan ini adalah amalan selain daripada ibadah-ibadah zahir tadi. Cuma, perlakuan ini diturut disertakan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Contohnya seperti makan, minum dan sebagainya yang diniatkan kerana Allah semata-mata.
Antara dalil yang mengukuhkan makna kesyumulan pengertian ibadah adalah sebagaimana firman Allah dalam surah azzariyaat ayat 56 :

 Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Ayat ini menjelaskan antara tujuan penciptaan manusia dan jin adalah untuk menyerah diri kepada Allah. Yakin dan kasih kepada Allah. Menjadikan suruhan dan larangan Allah sebagai ukuran dalam mengurus kehidupan. Dengan kefahaman inilah, membuktikan bahawa kefahaman ibadah tidak terhad kepada ibadah zahir seperti solat dan meminggirkan tuntutan agama yang lain seperti jihad di jalan Allah, mendirikan Daulah Islam, melakukan kebaikan kepada masyarakat, memakmurkn dunia seluruhnya serta menyumbang kepada keutuhan negara dari segenap aspek ekonomi, sosial dan sebagainya. Ini terbukti dengan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 55 :

Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka.”

Sesungguhnya Allah telah memutuskan janji kepada orang beriman dan mereka yang melakukan perbuatan baik, bahawa Allah akan memberi mereka kekuatan untuk menjadi pentadbir bumi ini. Mereka akan mengurus dan memakmurkan dunia dengan syariat Allah. Kesan kepada syariat inilah, dunia akan bertukar dari kemelesetan ekonomi, kepada kestabilan. Dari sekempitan hidup dialami rakyat kepada kekayaan. Dari keruntuhan moral kepada hidup berakhlak. Ini juga menolak kefahaman mereka yang menghadkan makna ibadah kepada mendirikan solat dan ibadah zahir lain semata-mata.

Kefahaman bahawa ibadah hanya terhad kepada aktiviti ibadah zahir sahaja adalah tidak tepat lantaran paderi-paderi Kristian menyembunyikan diri mereka di gereja-gereja.  Sedangkan urusan dunia mereka serahkan kepada golongan yang bukan agamawan.

Jenis Ibadah Dan Kesannya Kepada Masyarakat
Jenis ibadah dari aspek ini terbahagi kepada dua. Pertama ialah ibadah Khas. Ibadah khas adalah ibadah yang kebaikannya secara umum, hanya terhad kepada pelaku ibadah tersebut sahaja. Antara contohnya ialah solat, puasa dan zikir.

Yang kedua ialah ibadah Muta’adiyah. Ibadah ini pula manfaatnya turut dirasai oleh orang lain seperti bersedeqah, amar makruf dan nahi mungkar, berakhlak mulia, berjihad dan sebagainya.

Antara kedua-dua jenis ibadah ini, ibadah jenis yang kedua merupakan ibadah yang paling mencabar untuk diterapkan oleh individu. Terdapat beberapa faktor yang mendorong situasi ini. Pertama, ibadah khas tidak memerlukan persiapan awal yang sukar. Dengan ini, ianya memudahkan pelaku untuk terus melakukanya sendirian tanpa melibatkan orang lain. Sebagai contoh, mereka boleh terus berzikir tanpa perlu melakukan apa-apa persiapan yang rumit. Sedangkan ibadah Muta’adiyah pula memerlukan persiapan yang sukar. Contohnya, bersedekah memerlukan usaha untuk mencari harta yang banyak. Jadi manusia agak sukar untuk melakukan sedekah berbanding zikir atas sebab faktor ini.

Faktor kedua ialah faktor cabaran yang perlu ditempuhi dalam ibadah khas adalah mudah berbanding ibadah Muta’adiyah . Solat sebagai contohnya, hanya berhadapan dengan sikap malas dan sikap suka berehat menjadi halangan. Walaubagaimanapun ibadah bersedaqah perlu berhadapan dengan sikap sayangkan harta yang sudah semestinya amat sukar untuk diatasi.

Faktor yang terakhir adalah faktor kefahaman makna ibadah di kalangan masyarakat itu sendiri. Sebagaimana yang telah dibincangkan, ibadah itu hanya difahami sekitar ibadah khas dan tidak pada ibadah Muta’adiyah.  Ibadah yang mendatangkan pahala dan memenuhi tuntutan islam hanya diperolehi melalui ibadah khas. Seseorang itu akan dikatakan soleh, alim dan warak jika banyak melakukan ibadah khas. Bagi individu yang mentadbir negara, mengurus organisasi, mengendalikan mesyuarat yang bertujuan kerana Allah pula adalah orang yang mementingkan dunia.

Kesimpulannya, semua aktiviti harian yang kita lakukan kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala selagi ianya tidak bertentangan dengan syariah dan berteraskan niat kerana Allah. Hal ini kerana makna ibadah adalah luas dan syumul. 

#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 17, Tahun ke-7, 2012.

Jan 25, 2015

NASAKH DAN MANSUKH

Pengenalan
Perbincangan nasakh dan mansukh merupakan sebahagian dari skop bidang ilmu Ulum al-Quran. Penurunan al-Quran yang membawa kepada perlaksanaan hukum syariat telah terbukti meraikan kemanusiaan. Tempoh transisi dari zaman kegelapan Jahiliyyah kepada zaman gemerlapan cahaya Islam pastinya perlu meraikan nilai bertahap dan beransur-ansur.
Takrif
Dari aspek pentakrifan, nasakh dari segi bahasa ialah menggugurkan sesuatu dan menghilangkannya.  Dari segi aspek istilah pula, ia membawa erti membatalkan hukum syarak dengan hukum syarak yang baru.
Bahagian
Nasakh terbahagi kepada empat bahagian induk.
Bahagian Pertama : Nasakh al-Quran Dengan al-Quran. 
 Ulama bersepakat dengan keharusan nasakh ini.  Contoh dapat dilihat dari ayat dari surah al-Baqarah ayat 240:
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, Iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
 Ayat tersebut telah dinasakhkan dengan ayat dari surah yang sama ayat 234 :
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan”.
Bahagian Kedua : Nasakh Al-Quran Dengan As-Sunnah. 
Nasakh bahagian ini mempunyai dua komponen.  Komponen yang pertama ialah nasakh al-Quran dengan sunnah al-Ahadiah  (hadis-hadis bertaraf  ahad).  Pertimbangan Jumhur ulama dalam komponen nasakh ini adalah tidak harus.  Hal ini kerana al-Quran bertaraf mutawatir dan diyakini.  Manakala Sunnah al-Ahadiah berstatus tidak diyakini.  Sesuatu yang tidak diyakini tidak boleh menggugurkan sesuatu yang diyakini tarafnya.  Komponen kedua ialah nasakh al-Quran dengan as-Sunnah al-Mutawatirah (hadis-hadis bertaraf mutawatir).  Komponen ini diharuskan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dengan hujjah bahawa sunnah adalah wahyu daripada Allah seperti al-Quran.  Sandarannya adalah dari surah an-Najm  ayat 3 hingga 4:
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”.
 Manakala Imam as-Syafie dan golongan Zahiriah tidak mengharuskan nasakh komponen ini bedasarkan kepada ayat 106 surah al-Baqarah :   
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah Engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?”.
Status Sunnah pada pandangan mereka tidak setanding al-Quran bahkan tidak mampu menyamainya.  
Bahagian Ketiga: Nasak As-Sunnah Dengan Al-Quran.
Nasakh bahagian ini diharuskan oleh jumhur ulama.  Mengarahkan kiblat ke Baitul Maqdis ketika solat adalah thabit dalam Sunnah. Tidak ada petunjuk dari al-Quran memberi petanda keperluan menghadap qiblat ketika solat ke Baitul Maqdis. Ini memberikan indikasi bahawa ianya adalah thabit di dalam as-Sunnah dan bukannya melalui al-Quran. Walaubagaimanapun al-Quran menasakhkan  hukum ini melalui surah al-Baqarah ayat 144 :
Kerap kali kami melihat Engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang memandang ke langit, maka kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”.
Indikasi dari ayat tersebut jelas supaya mengarahkan diri ke arah kaabah di Mekah ketika solat berbanding Baitul Maqdis.
Bahagian Keempat : nasakh as-Sunnah dengan as-Sunnah
Bahagian ini pula terbahagi kepada empat komponen:  
Pertama : Nasakh As-Sunnah Mutawatirah Dengan As-Sunnah Mutawatirah
Kedua : Nasakh As-Sunnah Al-Ahad Dengan As- Sunnah Al-Ahad
Ketiga : Nasakh As-Sunnah Al-Ahad Dengan As- Sunnah Mutawatirah
Keempat : Nasakh As-Sunnah Mutawatirah Dengan As- Sunnah Al-Ahad
Bagi keempat-empat komponen tersebut , ulamak mengharuskan berlakunya nasakh pada komponen pertama, kedua dan ketiga.  Walaubagaimanapun jumhur ulama tidak mengharuskan berlakunya nasakh dalam komponen keempat.
Nasakh Dalam al-Quran
Nasakh dalam al-Quran terbahagi kepada tiga jenis. Secara umumnya, pembahagian jenis ini melibatkan isu nasakh dan pengekalan antara hukum dan bacaan. Jenis-jenis tersebut ialah :  
Pertama :  Nasakh Bacaan Dan Hukum
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Amrah binti Abdul Rahman daripada Aisyah r.a sesungguhnya beliau berkata : “Menurut apa yang diturunkan daripada Al-Qur’an sebelumnya bahawa sepuluh kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansukhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan mengharamkan mereka. Maka wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (sebahagian mereka) terus membacanya daripada ayat Al-Qur’an.” (Sunan Abi Daud : kitab an-Nikah, Hadis 1769)
Kedua :  Nasakh Hukum Dan Mengekalkan Bacaan 
Ini berlaku dalam ayat 240 surah al-Baqarah.
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, Iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, Dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Ketiga :  nasakh bacaan dengan mengekalkan hukum
Contoh ialah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab mengenai ayat tentang rajam, “Orang tua laki-laki dan orang tua perempuan  ( jika sampai melakukan perbuatan zina)  maka rajamlah keduanya dengan pasti”(Muwata’ : kitab Hudud,Hadis 939)
Kesimpulan
Allah SWT Maha Bijaksana dan Maha Mengasihi dalam menetapkan hukum syariat,  Inilah yang dapat dizahirkan dalam perlaksanaan nasakh dan mansukh. Jelasnya, perlaksanaan nasakh dan mansukh ini telah meraikan kemaslahatan manusia dalam tempoh perlaksanaan syariah dan penetapan sepanjang peredaran masa.  Kehadiran syariat dalam kehidupan manusia dengan beransur-ansur menghayati roh tadarruj.  Roh tadarruj yang tersirat melalui metologi dakwah Islam itu sendiri.  Pergerakan taklif hukum syariat dari yang ringan kepada yang sederhana taklif dan selanjutnya kepada yang lebih berat. Setimpal dengan kesediaan jiwa, roh dan emosi manusia. 
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 20, Tahun ke-8, 2013.

LIMA PERKARA YANG PERLU DILINDUNGI

Islam agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Kepercayaan dan Amalan menjelaskan: Islam adalah kalimah terbitan dari perkataan salama yang bermaksud ‘mempersetujui  dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan’. Kata kerjanya pula ialah aslama yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim  adalah mereka yang melakukan penyerahan ini. Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang yang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat di lihat dari perlaksaan syariahnya di dalam kehidupan manusia. Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutus kamu(Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” 
Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah s.a.w  yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah ini mempunyai konsep keadilan dan keamanan. Dr Mohammad Hashim Kamali di dalam bukunya, Prinsip-Prinsip Dalam Undang-Undang Islam menyatakan bahawa kalimah rahmah ini membawa pengertian jelas tentang apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah ialah menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan dari terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat. Dengan penjelasan ini, maka rahmat yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w adalah jelas dinyatakan dalam perlaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia. Maslahah ini juga perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya. Oleh itu, ulama’ berpendapat bahawa rahmat merupakan asas perlaksanaan syariah.
Ulama’ Usulul Fiqh menjelaskan bahawa terdapat 3 pembahagiaan maslahah.Maslahah tersebut ialah Dhoruriyyat, Hajiyyaat dan Tahsiniyyat. Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan bahawa dhoruriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan oleh manusia bagi menjamin kehidupan yang sempurna. Dhoruriyyat juga diperlukan bagi memastikan kehidupan mereka tidak membawa kepada sebarang bentuk kesengsaraan. Terdapat 5 perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Keperluan yang dimaksudkan itu adalah agama, jiwa, aqal, keturunan dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi. 
          Perkara pertama ialah agama. Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip yang dibawa agama tersebut. Ini kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama. Tidak ada agama yang mampu merealisasikan matlamat ini melainkan agama Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Imran ayat 19 sebagaimana bermaksud:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam.”
Lantaran kepentingan agama, Allah telah mengizinkan para sahabat di zaman Rasul s.a.w untuk berperang. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Hajj ayat 39 yang bermaksud:
“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa menolong mereka.”
          Perkara kedua ialah jiwa. Islam amat menitik beratkan aspek menjaga jiwa. Hanya dengan jiwa manusia menjadi satu entiti yang hidup. Di dalam al-Quran Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan membunuh. Ini bertujuan untuk memberi jaminan kepada perlindungan jiwa. Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 33 yang bermaksud:
“dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar, dan barang siapa yang membunuh secara zalim maka sesungguhnya kami telah memberi kekuasaan(hak untuk membalas) kepada ahli warisnya, tetapi janganlah mereka(ahli waris) itu melampaui batas dalam membunuh(membalas), sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.”
Islam amat menekankan kepada penganutnya untuk mementingkan penjagaan keturunan daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia ini. Penekanan Islam ini dapat di lihat dari pengharaman zina di dalam Al-Quran. Sebagaimana yang di dapati di dalam surah Al-Isra’ ayat 32 sebagaimana bermaksud:
“ Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji, dan adalah jalan yang buruk”
Islam tidak hanya melarang dari melakukan perbuatan yang mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan satu hukuman tetap kepada mereka yang melakukan perbuatan zina ini. Ini dapat dilihat dari al-Quran surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud:
“ Penzina perempuan dan penzina lelaki, maka rotanlah tiap-tiap orang dari keduanya seratus kali, dan janganlah  kasihan  kepada keduanya menyebabkan kamu tidak menjalankan agama Allah,jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah hukuman itu disaksikan oleh golongan yang beriman.”
Larangan dari mendekati zina  dengan ketetapan bentuk hukuman yang akan diterima membuktikan bahawa Islam amat mementingkan perlindungan aspek keturunan ini. Harus diingatkan bahawa hukuman yang ditetapkan bukanlah bertujuan untuk mendenda mereka yang melakukan perbuatan ini, tetapi di sebalik perlaksanaan hukuman ini tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia. 
Perkara yang keempat adalah akal. Akal sangat penting kepada kehidupan manusia. Dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan yang dilakukan adalah tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan amat penting bagi manusia kerana ia boleh mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup. Dengan akal yang cerdas memberi kelebihan kepada seorang pelajar untuk mencapai kejayaan berbanding dengan rakan mereka yang lain. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka perlu bijak melakukan keputusan dan tindakan demi menjamin kebahagiaan keluarga. Oleh sebab itu antara langkah awal Islam untuk menjaga kepentingan akal ini kepada manusia, Allah telah mengharamkan arak kepada umat Islam. Ini dapat dilihat dari surah al-Maaidah ayat 90 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya khamar, berjudi, korban berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji yang merupakan sebahagian dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.” 
Perkara terakhir yang perlu di lindungi oleh manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Mereka perlu bekerja untuk mendapatkan harta. Dengan harta manusia dapat memenuhi keperluan mereka untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya. Dengan ini jelaslah bahawa harta merupakan perkara penting bagi memastikan keharmonian hidup manusia. Islam menyedari hakikat ini. Oleh itu Allah SWT telah memberi panduan kepada manusia dalam usaha mereka untuk mendapatkan harta. Di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 Allah telah berfirman yang bermaksud: 
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah, kecuali melalui perniagaan yang berlaku dengan saling mempersetujui antara kamu, Dan janganlah kamu membunuh diri mu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada mu.”
Walau bagaimanapun, Islam tidak hanya memberi panduan kepada manusia, bahkan turut menetapkan hukuman kepada mereka yang mengambil harta orang lain dengan jalan mencuri. Hal ini dapat dilihat dari surah al-Maidah ayat 38 yang bermaksud:
“pencuri laki-laki dan pencuri perempuan , maka potonglah tangan kedua-duanya, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah lakukan dan sebagai seksaan dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia. Allah SWT sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang telah ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan kepada manusia, dan semua perkara yang dihalalkan oleh Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia. Renungilah firman Allah yang bermaksud:
“…dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban serta belenggu-belenggu(kesusahan)yang ada pada mereka…” (Al-Quran 7:157)  


#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 22, Tahun ke-8, 2013.