Pengajian ilmu Islam telah bermula sejak zaman
nabi Muhammad SAW sehingga kini. Walau bagaimanapun, sejarah pengajian ilmu
agama pada zaman Baginda SAW hanya berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunah.
Begitu juga pada zaman Sahabat Rasulullah SAW, ilmu agama tidak
dibahagi-bahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu seperti ilmu fiqh, hadis,
aqidah dah sebagainya. Daripada aspek pengajian, para sahabat Baginda
SAW mengajar al-Quran dan Al-Sunah kepada manusia sebagaimana Rasullullah SAW
mengajarkan kepada mereka. Al-Quran dan Al-Sunah
merangkumi kesemua ilmu-ilmu tersebut.
PENGAJIAN ZAMAN SAHABAT DAN SETERUSNYA
Menurut Syeikh Dr.
Abdul Aziz bin Abdullah al-Humaidi di dalam kitabnya Rasaail Syumuliyyah
menjelaskan bahawa sejarah para sahabat Baginda SAW dan para ulama
terdahulu terutamanya mereka yang terlibat dengan penyampaian kuliah agama
kepada masyarakat seperti Abu Hurairah Muaz bin Jabal,Ubai bin Kaab, Abdullah
bin Mas’ud, Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Amru, mereka secara umumnya
menjalinkan huraian ilmu agama dengan al-Quran dan Al-Sunah. Pendekatan yang
diambil adalah dengan menjelaskan nas-nas tersebut kemudian menghuraikan
masalah yang timbul daripada kedua-duanya.
Mereka tidak akan memanjangkan huraian masalah yang tidak mempunyai
penjelasan daripada nas. Kecuali dalam
situasi yang menuntut kepada keperluan fatwa dan ijtihad dalam kes-kes semasa
yang timbul di kalangan masyarakat.
Walau bagaimanapun, kepentingan kepada penghuraian yang lebih terperinci
dalam aspek-aspek ilmu agama mula berlaku selepas zaman para Sahabat r.a.Pada
zaman tabiin dan zaman-zaman seterusnya, berlaku pengkhususan ilmu disebabkan oleh
penyebaran hadis-hadis Nabi SAW dan berkembangnya riwayat-riwayat para sahabat
r.a tentang hadis-hadis tersebut.
Selanjutnya berlaku situasi kesedaran di
kalangan para ilmuwan untuk memberi penekanan ilmiah. Para ilmuwan secara
fokusnya lebih menumpukan kepada usaha menyampaikan penjelasan berbentuk ilmiah
dan menitikberatkan kepada jawapan untuk menyelesaikan persoalan dan pemasalah
yang timbul dalam masyarakat dan seterusnya berupaya untuk memberi penyelesaian
kepada permasalahan yang dihadapi mereka.
Situasi ini merupakan faktor penting yang
menyebabkan para ulama menitikberatkan pengajian hukum taklifi
(tanggungjawab agama) yang berkaitan dengan amalan ibadah seperti soal solat,
zakat dan haji serta aspek-aspek lain berkaitan muamalat. Ini amat bersesuaian
dengan keperluan mendesak masyarakat untuk melaksanakan tuntutan ibadah kepada
Allah dengan penuh yakin dan sebagai panduan bagi mereka untuk berinteraksi
dengan manusia. Di sinilah bermulanya muncul satu bidang ilmu yang dikenali
masa kini dengan ilmu fiqh. Iaitu Fiqhul Kitab Wa Sunah.
PENGKHUSUSAN PARA SAHABAT SAW
Faktor selanjutnya yang menyebabkan timbulnya
pengkhususan ilmu agama pada zaman tabiin adalah disebabkan oleh kepakaran khas
yang dimiliki oleh para sahabat Baginda SAW dalam bidang-bidang tertentu.
Sebagai contohnya, Abdullah bin Abbas merupakan pakar dalam bidang tafsir. Lalu
terbentuklah kelas pengajian beliau dengan pengkhususan bidang tafsir yang
akhirnya melahirkan pelajar-pelajarnya dalam bidang ini. Manakala Abdullah bin Mas’ud r.a mempunyai
kepakaran dalam mengenal pasti hukum dan kaedah berkaitan istimbat hukum
dan dalil-dalil syarak. Maka muncullah sekolah pengajian fiqh Abdullah
bin Mas’ud yang telah melahirkan ramai pelajar dalam bidang ini.Begitu juga
dengan Abu Hurairah r.a yang mempunyai kepakaran dalam ilmu periwayatan
hadis. Lalu dia melahirkan ulama-ulama
hadis.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna para
sahabat Baginda SAW hanya mempunyai pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu
sahaja. Bahkan mereka sebenarnya
merupakan tokoh ilmuwan Islam pada kesemua disiplin ilmu dalam agama. Ini dibuktikan dengan ketokohan Abdullah bin
Abbas sebagai ahli Fiqh dan Hadis. Abdullah bin Mas’ud pula mempunyai keupayaan
tinggi dalam bidang Tafsir dan Hadis. Abu Hurairah menyerlah dalam bidang Fiqh
dan Tafsir dan begitulah juga para sahabat yang lain. Walau bagaimanapun, sebahagian mereka tetap
mendominasi bidang-bidang tertentu dan akhirnya mereka lebih dikenali sebagai
pakar-pakar dalam bidang tersebut.
ZAMAN DEBAT ISU AQIDAH
Pada penghujung era Sahabat r.a, muncul beberapa perkara bid’ah.
Munculnya golongan yang mengingkari qadar Allah SWT. Fahaman yang menyatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar akan kekal dalam neraka dan menghukumkan mereka sebagai kafir. Para ulama di kalangan sahabat r.a dan tabiin terus gigih membendung malapetaka ini. Keadaan ini juga telah menimbulkan banyaknya perdebatan dan pengkajian yang mendalam yang tidak diperlukan terutamanya berkaitan isu nama-nama dan sifat Allah sehingga ulama menamakan gelanggang pendebatan ini sebagai ilmu kalam.
Munculnya golongan yang mengingkari qadar Allah SWT. Fahaman yang menyatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar akan kekal dalam neraka dan menghukumkan mereka sebagai kafir. Para ulama di kalangan sahabat r.a dan tabiin terus gigih membendung malapetaka ini. Keadaan ini juga telah menimbulkan banyaknya perdebatan dan pengkajian yang mendalam yang tidak diperlukan terutamanya berkaitan isu nama-nama dan sifat Allah sehingga ulama menamakan gelanggang pendebatan ini sebagai ilmu kalam.
Baginda SAW sangat menitikberatkan penjelasan aqidah dan hukum-hakam yang
disertakan bersama nas-nas berbentuk peringatan dan ancaman. Pendekatan ini
terus diamalkan oleh para sahabat dan kebanyakan ulama kurun-kurun
kegemilangan. Fatwa-fatwa mereka
sentiasa dikaitkan dengan al-Quran dan al-Sunah yang merangkumi peringatan,
berita-berita yang menggembirakan selain perkara-perkara yang berbentuk
ancaman. Ini akan mendorong kaum Muslimin berpegang dengan pegangan yang murni
dalam isu berkaitan hukum-hukum agama. Selain itu, mereka juga akan dibentuk
dengan keperibadian takwa, unsur-unsur warak dan keunggulan jati diri yang
sesuai dengan akhlak Islam.
Zaman yang berlalu turut membawa perubahan kepada ilmu Islam. Berlaku kegersangan
dalam seni penyampaian Ilmu Islam. Penghuraiannya tidak lagi menampilkan
nas-nas al-Quran dan al-Sunah. Selain itu, berlaku juga pendekatan meringkaskan
isi kandungan dalam perbincangannya. Dalil-dalil daripada nas tidak dikemukakan
bahkan dalam sesetengah keadaan berlaku percampuran nas antara satu sama lain.
Perbahasan ilmu aqidah sebagai contohnya, hanya dipenuhi dengan penghujahan
logikal tanpa sebarang pengukuhan hujah daripada al-Quran dan al-Sunah. Keadaan
ini agak mustahil untuk membentuk nilai akhlak seperti takwa, warak dan proses pengukuhan
iman umat Islam.
PERBAHASAN MASALAH FIQH
Selain itu, berlaku juga situasi percampuran sumber-sumber yang tidak
mempunyai kaitan dengan Islam. Ini
disebabkan kesan daripada pergaulan kaum Muslimin dengan bangsa lain hasil
pembukaan kota-kota utama dunia. Keadaan
ini juga disebabkan oleh faktor berlakunya percampuran pemikiran dengan
bangsa-bangsa lain yang menyaksikan perpindahan ilmu-ilmu mereka di kalangan
umat Islam yang akhirnya membawa kepada penyelewengan aspek-aspek tertentu
dalam memahami aqidah.
Dalam permasalahan ilmu Fiqh terutamanya aspek huraian ibadah amali,
berlaku penyisihan nas al-Quran dan al-Sunah. Bidang Fiqh juga turut
terkesan dengan ringkasan-ringkasan dalam penjelasan hukum-hakam yang tidak
menyertakan nas dan dalil. Walau tidak
dinafikan, metodologi ini pada hakikatnya adalah bertujuan untuk memudahkan
kefahaman di kalangan pelajar. Tetapi ia turut memberi kesan negatif. Wujudnya
kurang penekanan daripada aspek pembangunan akhlak dan pengukuhan iman. Dengan
semudah ringkasan bahawa hukum dalam permasalahan tertentu adalah halal, haram,
makruh dan wajib. Ketiadaan nas berbentuk didikan nasihat, juga tinta-tinta nas
yang mendorong ke arah ketakwaan, titis-titis mangsi keimanan dan prakarsa
pahala dan ganjaran. Keadaan ini akhirnya membawa kepada kegersangan hati
individu Muslim dengan ciri-ciri penting tersebut.
Sebahagian ulama juga, mengemukakan ayat-ayat hukum sebagai dalil dan
meninggalkan komponen peringatan, ancaman dan pernyataan sifat-sifat Allah yang
sebenarnya turut terkandung dan amat penting untuk dikemukakan bersama. Sebagai contoh ayat berkenaan dengan hukuman
qisas petikan dari surah al-Baqarah ayat 178 hingga ayat 179 :
“Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan
kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang) Dalam
perkara orang-orang Yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka Dengan orang
merdeka, dan hamba Dengan hamba, dan perempuan Dengan perempuan. maka sesiapa
(pembunuh) Yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak Yang
terbunuh), maka hendaklah orang Yang mengampunkan itu) mengikut cara Yang baik
(dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan
bayaran ganti nyawa itu) Dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu
keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa
Yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa Yang
tidak terperi sakitnya. Dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi
kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa”
Jelaslah daripada ayat-ayat tersebut, Allah SWT menamatkan pelaksanaan
hukum Qisas dengan amaran, menyatakan kewajaran perlaksanaan hukuman Qisas ini
dan segmen akhir ayat berkesudahan dengan misi utama perlaksanaan Qisas adalah
mengharapkan Muslim mencapai tahap taqwa.
Menurut Syeikh Dr. Abdul
Aziz bin Abdullah al-Humaidi lagi, pendekatan ini sebenarnya telah memberikan
kesan negatif kepada dunia Islam. Kefahaman Islam di kalangan masyarakat lebih
cenderung berasaskan ijtihad para ulama dan bukannya melalui nas-nas syara’.
Selain itu, berlaku kelemahan ketara dalam aspek ijtihad dan masyarakat pula
mula bergantung semata-mata kepada taqlid tanpa melihat kepada
dalil-dalil. Hal ini disebabkan oleh kesukaran mereka dalam memahami nas.
Selanjutnya berlakulah
situasi kurangnya penekanan kepada aspek pembangunan rohani dan jiwa. Sebaliknya
aspek perbahasan teori dan pemikiran mendominasi kehidupan umat. Wujudnya
pengasingan antara aspek pembangunan rohani dan aspek perbahasan teori. Hal ini
kerana sesetengah ulama lebih cenderung untuk memanjangkan perdebatan dalam
masalah teori tikal dan bahas pemikiran idea berbanding aspek pembangunan
rohani dan pengukuhan jiwa. Dalam masa yang sama, wujud juga sebahagian
pengajar yang menampilkan diri mereka sebagai pencerita yang mampu menarik
keterujaan pendengar. Mesej yang mereka telah sampaikan juga tidak satu pun
mengandungi aspek kerohanian dan akhlak. Justeru, masyarakat lebih cenderung
untuk tertarik dengan pengucapan yang disampaikan oleh pencerita berbanding
pengucapan yang disampaikan oleh ulama yang sepatutnya sarat dengan kandungan elemen
kerohanian dan pembangunan jiwa.
ANTARA ULAMA DAN PENDAKWAH
Akhirnya, masyarakat hanya mengenali ulama
sebagai individu yang hanya membahaskan aspek teori dan debat berasaskan idea
pemikiran semata-mata. Pada masa yang sama, masyarakat masih lagi mampu menarik
nafas lega kerana masih terdapat individu atau golongan yang tetap tidak meminggirkan
aspek penyampaian elemen kerohanian dan pembangunan jiwa. Tugas ini sebenarnya
di galas oleh para pendakwah. Hasil daripada itu, terbentuk pula tanggapan bahawa
ulama dan pendakwah adalah dua entiti yang berbeza. Ulama sebagaimana yang
telah dikemukakan adalah mereka yang membawa mesej berkaitan teori dan debat
idea pemikiran manakala pendakwah adalah mereka yang menitik beratkan aspek pentarbiahan
jiwa dan akhlak. Walau bagaimanapun, masih terdapat individu ulama yang
mempunyai kedua-dua pendekatan ini. Tapi bilangannya mungkin terlalu kecil.
Kerana, seruan ke jalan Allah, pembinaan tarbiah adalah merupakan sebahagian
daripada tugas yang tergalas di bahu ulama.
Mereka tidak boleh bersikap evasif dalam hal ini. Ulama seharusnya
menyeru umat kepada Allah, membangunkan jiwa umat dengan keimanan, memurnikan
keperibadian umat dengan akhlak terpuji selain tetap menjelaskan hukum-hakam
bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.
KESIMPULAN
Justeru, pendekatan pengajaran ilmu Islam dalam semua
bidang memerlukan integrasi pautan nas yang sempurna. Tidak berlaku pemisahan
komponen-komponen nas. Nas-nas yang ditampilkan perlu dikemukakan dalam ayatnya
yang sempurna tanpa sebarang pengasingan. Sebagai contohnya, komponen berkaitan
fiqh perlu disertakan juga dengan komponen seruan ke arah ketakwaan dan dorong
keimanan. Begitu juga dengan perbincangan hangat berkaitan permasalahan agama
perlu diamankan dengan titis tarbiah iman dan takwa. Akhirnya, pembentukan diri
generasi muslim berilmu berpadu akhlak tinggi akan dapat dijelmakan dalam
kancah kehidupan umat yang kegersangan kudwah ikutan.
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil.
23, Tahun ke-9, 2014.
No comments:
Post a Comment