Aug 3, 2015

TERAPI AD-DHUHA


Surah ad-Dhuha adalah penawar bagi mereka yang merasakan diri mereka disisih,ditinggalkan dan dibenci. keseluruhan surah ini membawa diri Baginda SAW kepada hikmah pergantian siang dan malam.Sebagaimana lazimnya ketika waktu dhuha,kehidupan manusia bermula,dan di malam harinya pula mereka berehat. Merehatkan fizikal dan mental. Lalu Allah menyejukkan jiwa SAW. Allah menyatakan bahawa Dia tidak tinggal Baginda SAW sendirian. Bukan juga membenci Baginda SAW.Begitulah juga kita, disebalik sisih manusia kepada kita, sebenarnya Allah mendakap kita mesra. Allah sebenarnya menjaga kita. Allah sama sekali tidak biarkan kita kesepian. Dia sentiasa bersama kita. Dia bersama kita di siang hari. Siang hari yang kita sentiasa sibuk dengan mencari rezeki. Sibuk kita sehingga kita lupakan Allah. Sedangkan Allah mengambil berat kepada kita dengan menetapkan jalan-jalan rezeki kepada kita. Di siang hari yang kadang-kadang menimbulkan rasa resah di hati dengan gelagat rakan sekerja, orang sekitar dan musuh-musuh yang dengki, tentunya semua ini memberi sedikit tekanan kepada emosi kita. Di saat inilah kita perlu sedar, bahawa Allah sahajalah yang rapat dengan kita. Bersama kita. Tidak pernah sisihkan kita selamanya.

Allah kemudiannya memujuk jiwa resah Muhammad SAW dengan jaminan bahawa hari esok adalah lebih cerah dan lebih baik dari hari ini. Keresahan hari ini pasti akan hilang. Hari esok yang bakal tiba, pastinya akan memancarkan sinar fajar yang bahagia. Kegelapan hari ini akan lenyap. Diganti dengan kegemilangan hari esok. Begitulah lumrah kehidupan yang ditempuhi Baginda SAW. Hidup Baginda SAW di dunia tanpa kemewahan. Tanpa gedung-gedung harta. Makan harian beralaskan kurma. Tiada pengawal-pengawal. Rumah Baginda SAW tidak dihiasi hilaian pelayan-pelayan. Tapi, di negeri akhirat kelak, Baginda SAW akan menghuni syurga.tempat tinggal mewah yang tiada taranya. Makanan paling berkhasiat belum pernah lidah rasai. Cantik bibadari belum pernah dilihat mata. Hari esok pasti lebih indah dari hari ini.  Oleh itu sedarlah kita, kesusahan yang kita tempuhi di saat ini, bukanlah penamat hidup kita selama-lamanya. Keresahan hari ini adalah bayaran bagi memperoleh kesenangan pada masa hadapan. Tempuhilah kepayahan ketika ini dengan sabar. Kepayahan dihayati dengan sabar dan kesenangan dirasai dengan syukur. Itulah sebenarnya hakikat kebahagiaan. Kerana kesenangan tanpa merasai kepayahan terlebih dahulu seakan tiada ertinya.

Seterusnya dari ayat ke lima surah ad-Dhuha pula memberi kelegaan kepada Baginda SAW. Perit dan derita sepanjang perjuangan yang ditempuhi Baginda SAW hilang dengan jaminan keredoaan Allah.

“Dan Sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda”

Di dunia lagi, kemenangan dan kejayaan bakal dikecapai Baginda SAW. Melalui pembukaan kota mekah, pembangunan negara islam madinah dan sebagainya. Kemenangan ini berterusan sehingga di hari akhirat nanti. Terlaga kausar, pasti menjadi saksi anugerah tidak terhingga Allah kepada Baginda SAW. Istana-istana mewah tegak kukuh bakal didiami Baginda SAW.

Begitula Allah janjikan kepada mereka yang disisihkan bahawa Allah pasti akan memenuhi keperluan diri mereka. Kemenangan dan ketengangan.  Jika diri merasakan perlunya sokongan dan dokongan, maka Allah akan sediakannya. jika diri merasakan perlukan kekuatan semangat, maka Allah akan sediakannya.Lalu ketika itu hati akan puas. Redo dan lapang.

Lalu ayat-ayat seterusnya telah membawa Baginda SAW mengimbau saat-saat sukar yang pernah Baginda SAW lalui. Bersendirian tanpa mereka yang tercinta di sisi. Bukankah pernah nabi Muhammad SAW hidup yatim piatu tanpa ibu dan ayah. Baru di dalam kandunga ibu, Baginda SAW SAW sudah kehilangan ayah. Menjejak usia enam tahun, Baginda SAW SAW kehilangan ibu pula.  lalu Allah lindungi Baginda SAW dengan dijaga oleh datuk Baginda SAW Abdul mutalib. Kemudian Baginda SAW di jaga pula oleh bapa saudaranya abu talib dua tahun kemudiannya. Pada ketika inilah tahap paling genting Baginda SAW berhadapan dengan cabaran musyrikin. Namun semuanya dipertahankan oleh abu talib. Mana mungkin seorang yang masih berpegang dengan agama nenek moyang, mewarisi agama menyembah berhala mempertahankan agama yang berbeza dibawa Muhammad SAW. inilah hikmah aturan Allah dalam melindungi Muhammad SAW. seorang yatim piatu.

Pernahkan kita kesuntukan mencari jalan keluar kepada masalah. Bagaikan tiada jalan keluar. Namun akhirnya, entah dari mana jalannya Allah bantu kita keluar dari jalan itu. Diceritakan, Baginda SAW juga pernah tersesat di Bandar mekah. Ketika itu Baginda SAW masih kecil. Lalu Allah tunjukkan Baginda SAW pulang melalui perantaraan jibril a.s.

Baginda SAW SAW hidup dalam kemiskinan. Lalu Allah anugerahkan Baginda SAW teman hidup. Khadijah seorang usahawan berjaya. Hilanglah resah kemiskinan. Diganti Allah dengan kekayaan. Kesenangan ini digunakan sepenuhnya pula pada jalan Allah.

Oleh itu ingatlah bahawa disebalik serahnya hati kita menanggung sisih manusia. Kita sebenarnya sentiasa menerima perhatian dari Allah. Telah banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Namun kita asyik sedarkan kekurangan yang kita miliki. Bahkan sebenarnya, ramai lagi insan lain yang lebih malang dari kita. Kita mungkin ditimpa kesusahan yang kecil dan masih mampu berhadapan dengannya. Sedangkan orang lain berhadapan dengan kesukaran menggunung. Tak mampu ditanggung mereka. Bantulah mereka yang lebih sukar dari kita. Kerana pasti Allah membukakan lagi ruang jalan keluar di atas kesukaran yang kita lalu. Dengan inilah surah ad-dhuha ditamatkan. Mengingatkan kita betapa perlunya kita membantu mereka yang lebih perit menunpuh hidup berbanding diri kita.

"maka terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku kasar"
"dengan orang yang meminta jangalah kamu herdik"
"dan terhadap nikmat Tuhanmu hendaklah kamu menyebut-nyebutnya"


ingatlah kembali kepada nikmat yang Allah pernah berikan kepada kita disebalik kesukaran yang kita hadapi ini. Sedarlah jua, kesukaran yang kita hadapi ini terlalu kecil di sisi mereka yang lebih berat ujiannya.

MOTIVASI SEMASA KERJA

Kebanyakan masa kita banyak dihabiskan dengan masa bekerja. Ada yang berurusan dipejabat, bengkel, tapak bangunan dan sebagainya. Masa-masa bekerja pula dilalui dengan penuh dedikasi dan tekun. Ini semua kita lakukan bagi memastikan kelangsungan hidup di dunia ini. Walaubagaimanapun, harus kita sedari betapi aktiviti utama kita ini hendak sentiasa mendapat panduan dan nasihat. Agar amalan kita tidak sia-sia bahkan terjamin dengan pahala dan keredoaan Allah. Oleh itu, disertakan di sini beberapa saranan yang boleh mengingatkan kita dalam bekerja.

KERJA KERANA ALLAH
Niat merupakan perkara penting dalam melakukan sesuatu amalan. Niat perlu sentiasa diperbetulkan dari semasa ke semasa. Terutama dalam melakukan kerja. Ini bagi memastikan hati itu mendetikkan Allah. Kerana tempat niat itu adalah hati. Dan hati sentiasa berubah-ubah. Manusia pula sentiasa lupa. Tidak sukar sebenarnya untuk memastikan kerja yang kita lakukan sentiasa berada dilandasan tujuannya. Tindakan ini boleh dicadangkan untuk dilakukan semasa anda melangkah keluar dari tempat kerja. Atau setidak-tidaknya semasa anda memandu kenderaan anda. Tetapkan persoalan kenapa saya bekerja? Apakah ada nanti ada aktiviti yang saya akan lakukan tidak bersesuaian dengan kehendak Allah? Ungkapkanlah juga doa dalam hati agar Allah memudahkan dan memberkati pekerjaan yang akan kita lakukakan pada hari ini.

SOLAT MEREHATKAN TEKANAN
Kerja kerana Allah, ada penilaiannya dalam agama. Solat merupakan tiang agama Justeru hubungan kerja dengan solat tidak dapat dipisahkan. Kerja yang membebankan tidak menghalang untuk kita bersujud kepada Allah. Mendirikan solat selama beberapa minit tidak menjadi halangan menyelesaikan kerja yang berjam-jam. Kerja berjam-jam penuh dengan tekanan dan bebanan. Minit-minit dalam solat pula penuh dengan kerehatan dan ketenangan. Bukankah kita disunatkan mendirikan solat terawih di malam hari pada bulan disiang harinya kita wajib mengosongkan perut? Pada gambaran umum, agak penat bekerja dalam keadaan lapar. Sebelah malamnya pula bersolat? Apakah tiada hikmah yang tersembunyi? Apa guna thoma’ninah dalam solat?  Solat sunat, wajib, empat rakaat atau tiga. Dikerjakan di malam hari atau di nihari. Thoma’ninah itu ada pada semua solat. Pastinya ada hikmat tersirat. Inilah intipati kerehatan dan ketenangan yang ada dalam solat. 
Ibadah puasa disusuli dengan rehat. Pergerakan dalam solat diselangi dengan rehat. Bekerja samada di pejabat, makmal, pusat pentadbiran atau mana-mana lokasi sekali pun perlu di selangi dengan rehat. Dalam solat ada nikmat kerehatan. Tapi pastinya solat yang didirikan bukan atas dasar melangsaikan bebanan. Tapi, solat itu semestinya bertitik tolak dari hati yang sakinah, ingin menemui Allah seketika. Sebagai tanda mengingati-Nya. Mengingatinya adalah ketenangan. Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 14 serta Surah ar-Radh ayat 28 :

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku”
"(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan mengingati Allah". ketahuilah Dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia

MINTA PANDANGAN MELALUI MESYUARAT
Selain dari menjalinkan hubungan dengan Allah, kita juga perlu berinteraksi dengan manusia. Dalam konteks pekerjaan, kita perlu adakan perbincangan. Mesyuarat secara formal atau tidak. Melalui perbincangan, kita akan mampu merungkaikan masalah yang kita hadapi. Perbincangan tidak formal boleh dibuat dari semasa ke semasa samada dengan ketua atau rakan. Bahkan sesetengah keadaan, belum pun rakan mencadangkan sesuatu masalah yang kita utarakan, jawapan tiba-tiba muncul dalam benak fikiran kita. Inilah hikmah dari mesyuarat. Sebab itulah Allah SWT melalui Surah an-Naml  ayat 32 menampilkan kisah teladan bagaimana seorang raja perempuan di zaman nabi Sulaiman meminta pandangan pembesarnya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaKu mengenai perkara Yang Aku hadapi ini; Aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya".


Justeru, kesibukkan dalam bekerja tidak menghalang kita untuk melakukan hubungan kita dengan Allah. Penuh keikhlasan dan ketakwaan. Juga mesra dalam melakukan hubungan sesama manusia. Moga kita akan cemerlang menempuh alam pekerjaan yang penuh cabaran.