Jan 28, 2015

KESYUMULAN MAKNA IBADAH



Ibadah seringkali hanya digambarkan dengan aktiviti mendirikan solat, tazkirah, zikir, qiamullail dan sebagainya. Aktivi harian lain seperti memandu kenderaan, menghadiri mesyuarat, bersukan, berkebun dan sebagainya pula seringkali dianggap sebagai urusan dunia. Hanya masjid tempat ibadah sedangkan pejabat dan lokasi kerja lain bukan tempat ibadah. Begitu juga keadaannya dengan mereka yang berada di tikar sejadah adalah mereka yang sedang melakukan ibadah. Sedangkan mereka yang berada di kerusi pejabat adalah mereka yang sedang menguruskan urusan dunia. Tanpa menafikan bahawa solat adalah ibadah, namun adakah aktiviti lain tidak termasuk dalam pengertian ibadah.

Pengertian Ibadah
Menurut Dr. Abdul Aziz Abdullah al-Humaidi di dalam kitab karangannya Rasaail Syumuliyyah, ibadah dari sudut bahasa ialah merasa terhina dan tunduk patuh. Dari sudut syara’ pula, ibadah membawa makna pemusatan aktiviti kepada Allah  dengan melaksanakan syariat-Nya yang terhasil dari kesempurnaan perasaan hina diri, tunduk patuh, taat dan cinta.
Memetik definasi yang diberikan oleh Ibnu Taymiyyah, Dr. Wahbah Zuhaili menukilan makna ibadah dalam kitabnya Fiqhul Islam Wa Adillatuh bahawa ibadah itu adalah kata nama yang umum yang merangkumi semua perkara yang disukai Allah  dan yang diredai-Nya samada dari perkataan atau perbuatan yang zahir atau yang tersembunyi.

Maka dengan ini, merangkumi pengertian ibadah adalah solat, zakat, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran, berzikir dan berbuat baik kepada anak yatim. Juga termasuk dalam pengertian ini ialah perasaan takut kepada Allah, cintakan Allah  dan Rasul-Nya, bersyukur dengan nikmat dan redo dengan ketentuanNya.

Bahagian Ibadah
Menurut Dr. Abdul Aziz lagi, Ibadah mempunyai tiga bahagian. Bahagian pertama ialah
amalan hati seperti bertawakkal, mengharap dan takut kepada Allah serta sifat sabar. Bahagian kedua ialah ibadah-ibadah zahir yang biasa dilihat seperti pergerakan dalam solat, perbuatan menunaikan zakat, melaksanakan tuntutan puasa dan sebagainya.
Bahagian ketiga pula ialah semua perkara yang boleh menghasilkan pahala bila melakukannya atau meninggalkannya. Amalan ini adalah amalan selain daripada ibadah-ibadah zahir tadi. Cuma, perlakuan ini diturut disertakan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Contohnya seperti makan, minum dan sebagainya yang diniatkan kerana Allah semata-mata.
Antara dalil yang mengukuhkan makna kesyumulan pengertian ibadah adalah sebagaimana firman Allah dalam surah azzariyaat ayat 56 :

 Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Ayat ini menjelaskan antara tujuan penciptaan manusia dan jin adalah untuk menyerah diri kepada Allah. Yakin dan kasih kepada Allah. Menjadikan suruhan dan larangan Allah sebagai ukuran dalam mengurus kehidupan. Dengan kefahaman inilah, membuktikan bahawa kefahaman ibadah tidak terhad kepada ibadah zahir seperti solat dan meminggirkan tuntutan agama yang lain seperti jihad di jalan Allah, mendirikan Daulah Islam, melakukan kebaikan kepada masyarakat, memakmurkn dunia seluruhnya serta menyumbang kepada keutuhan negara dari segenap aspek ekonomi, sosial dan sebagainya. Ini terbukti dengan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 55 :

Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka.”

Sesungguhnya Allah telah memutuskan janji kepada orang beriman dan mereka yang melakukan perbuatan baik, bahawa Allah akan memberi mereka kekuatan untuk menjadi pentadbir bumi ini. Mereka akan mengurus dan memakmurkan dunia dengan syariat Allah. Kesan kepada syariat inilah, dunia akan bertukar dari kemelesetan ekonomi, kepada kestabilan. Dari sekempitan hidup dialami rakyat kepada kekayaan. Dari keruntuhan moral kepada hidup berakhlak. Ini juga menolak kefahaman mereka yang menghadkan makna ibadah kepada mendirikan solat dan ibadah zahir lain semata-mata.

Kefahaman bahawa ibadah hanya terhad kepada aktiviti ibadah zahir sahaja adalah tidak tepat lantaran paderi-paderi Kristian menyembunyikan diri mereka di gereja-gereja.  Sedangkan urusan dunia mereka serahkan kepada golongan yang bukan agamawan.

Jenis Ibadah Dan Kesannya Kepada Masyarakat
Jenis ibadah dari aspek ini terbahagi kepada dua. Pertama ialah ibadah Khas. Ibadah khas adalah ibadah yang kebaikannya secara umum, hanya terhad kepada pelaku ibadah tersebut sahaja. Antara contohnya ialah solat, puasa dan zikir.

Yang kedua ialah ibadah Muta’adiyah. Ibadah ini pula manfaatnya turut dirasai oleh orang lain seperti bersedeqah, amar makruf dan nahi mungkar, berakhlak mulia, berjihad dan sebagainya.

Antara kedua-dua jenis ibadah ini, ibadah jenis yang kedua merupakan ibadah yang paling mencabar untuk diterapkan oleh individu. Terdapat beberapa faktor yang mendorong situasi ini. Pertama, ibadah khas tidak memerlukan persiapan awal yang sukar. Dengan ini, ianya memudahkan pelaku untuk terus melakukanya sendirian tanpa melibatkan orang lain. Sebagai contoh, mereka boleh terus berzikir tanpa perlu melakukan apa-apa persiapan yang rumit. Sedangkan ibadah Muta’adiyah pula memerlukan persiapan yang sukar. Contohnya, bersedekah memerlukan usaha untuk mencari harta yang banyak. Jadi manusia agak sukar untuk melakukan sedekah berbanding zikir atas sebab faktor ini.

Faktor kedua ialah faktor cabaran yang perlu ditempuhi dalam ibadah khas adalah mudah berbanding ibadah Muta’adiyah . Solat sebagai contohnya, hanya berhadapan dengan sikap malas dan sikap suka berehat menjadi halangan. Walaubagaimanapun ibadah bersedaqah perlu berhadapan dengan sikap sayangkan harta yang sudah semestinya amat sukar untuk diatasi.

Faktor yang terakhir adalah faktor kefahaman makna ibadah di kalangan masyarakat itu sendiri. Sebagaimana yang telah dibincangkan, ibadah itu hanya difahami sekitar ibadah khas dan tidak pada ibadah Muta’adiyah.  Ibadah yang mendatangkan pahala dan memenuhi tuntutan islam hanya diperolehi melalui ibadah khas. Seseorang itu akan dikatakan soleh, alim dan warak jika banyak melakukan ibadah khas. Bagi individu yang mentadbir negara, mengurus organisasi, mengendalikan mesyuarat yang bertujuan kerana Allah pula adalah orang yang mementingkan dunia.

Kesimpulannya, semua aktiviti harian yang kita lakukan kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala selagi ianya tidak bertentangan dengan syariah dan berteraskan niat kerana Allah. Hal ini kerana makna ibadah adalah luas dan syumul. 

#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 17, Tahun ke-7, 2012.

No comments: