Para ulama mendefinisikan al-Quran adalah Kalam Allah, diturunkan
kepada nabi Muhammad SAW dan menjadi ibadah apabila dibacakan. Daripada definisi tersebut, terungkaplah
gambaran bahawa al-Quran merupakan kitab panduan ungggul menjadi sumber
kemajuan tamadun manusia.
Dalam perkembangan ilmu al-Quran, para ulama khususnya ulama ulum
al-Quran turut mengemukakan tajuk membincangkan ayat-ayat Mekah dan Madinah. Hal
ini relevan kerana al-Quran telah melalui sejarah penurunan di kedua-dua tempat
suci tersebut.
Pengertian Ayat Mekah Dan Ayat Madinah
Walaubagaimanpun, terdapat tiga pandangan ulama berkaitan dengan makna ayat Mekah dan Madinah.
Syeikh Manna’ al-Qattan di dalam Kitabnya Mabahaith Fi Ulumul-Quran
menyatakan pendapat pertama menyatakan bahawa ayat Mekah bermaksud ayat-ayat
yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah baginda nabi Muhammad SAW dari Mekah
ke Madinah. Manakala ayat Madinah pula bermakna ayat-ayat yang diturunkan selepas
hijrah walaupun lokasi penurunannya di Mekah. Seperti ayat 58 surah al-Nisa’
yang diturunkan pada tahun pembukaan Kota Mekah. Pendapat ini menilai aspek
zaman penurunan al-Quran tersebut.
Pendapat kedua, ayat Mekah ialah ayat yang diturunkan di Mekah dan
lokasi berhampiran dengannya seperti di Mina, Arafah dan Hudaibiyyah. Manakala
ayat yang dikategorikan sebagai ayat Madinah ialah ayat al-Quran yang
diturunkan di Madinah dan lokasi berhampiran dengannya seperti di Uhud dan
Quba’. Pendapat ini meletakkan lokasi penurunan ayat sebagai ukuran. Pendapat
yang ketiga pula mendefinisikan ayat Mekah ialah ayat yang ditujukan kandungannya
kepada penduduk Mekah. Dan begitulah sebaliknya ayat Madinah ditujukan kepada
penduduk Madinah. Contoh yang dikemukakan adalah seperti ayat yang menyeru “wahai manusia” adalah ayat dalam kategori
Mekah. Manakala ayat yang dimulakan dengan “wahai orang-orang yang beriman”
adalah ayat Madinah.
Gaya Bahasa Dan Kandungan Mesej Ayat Mekah
Dalam menyampaikan mesej, al-Quran mempunyai gaya bahawa yang
berbeza antara ayat Mekah dan ayat Madinah. Antara ciri gaya bahasa ayat Mekah
ialah pertama, seruan dakwah kepada mentauhidkan Allah SWT, mengukuhkan
kebenaran risalah nabi Muhammad SAW, kebenaran mesej hari kebangkitan dan pembalasan,
mengemukakan gambaran hari Kiamat dan suasananya, neraka dan azabnya, syurga
dan kenikmatannya, perdebatan kaum Musyrikin dan kandungan penghujjahan logikal
kepada mereka.
Kedua, meletakkan asas umum perundangan syariat dan kelebihan nilai
akhlak yang menjadi asas pembangunan masyarakat seperti isu memakan harta anak
yatim sebagai satu kezaliman, kezaliman menanam anak hidup-hidup dan
sebagainya.
Ketiga, menampilkan kisah-kisah nabi dan para rasul terdahulu
sebagai mesej peringatan untuk dijadikan pengajaran tentang kesudahan kaum
terdahulu yang menentang. Keempat, menampilkan kandungan ayat ringkas dengan
kekuatan lafaz sehingga memberi kesan kepada pendengar bahkan boleh menberi
kesan mendalam kepada hati mereka.
Gaya Bahasa Dan Kandungan Mesej Ayat Madinah
Bagi ayat-ayat Madinah pula, gaya bahasanya adalah mengandungi tajuk-tajuk
muamalat, ibadat, hudud, perundangan kekeluargaan, harta pewarisan, kelebihan
berjihad, solat berjemaah, hubungan diplomatik antara kerajaan dalam kontek
peperangan dan perdamaian.Kedua, mengemukakan bicara ahli kitab dari kalangan
Yahudi dan Nasrani serta penolakan mereka tentang kebenaran risalah.
Selanjutnya, ayat-ayat Madinah juga membongkar sifat-sifat dan ciri
orang munafik dan amaran tentang bahaya mereka kepada agama. Akhir sekali,
ayat-ayat Madinah tampil dengan ayat-ayat panjang dengan gaya bahasa memperkukuhkan
syariat menjelaskan tujuannya.
Faedah Mengetahui Ayat-Ayat Mekah dan Madinah
Perbahasan ulama tentang ayat-ayat Mekah dan Madinah telah
meninggalkan faedah yang tersendiri. Antaranya ialah, menjaga al-Quran dalam
kontek pentafsiran. Hal ini kerana, pengetahuan tentang tempat turun ayat
tersebut akan membantu dalam memahami tafsiran sebenar. Selain itu, pengetahuan
ini juga akan memberi kesan kepada aspek dakwah terutamanya kesan gaya bahasa
al-Quran itu sendiri. Bahkan memberi panduan kepada para pendakwah menggunakan
uslub dakwah berkesan kepada sasaran dakwah mereka. Akhir sekali, pengetahuan
tentang ilmu ini juga dapat menyusuri sirah nabi Muhammad SAW. Kita akan dapat
mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku berserta dengan masanya. Bermula
dari awal penurunan wahyu sehingga akhir ayat yang diturunkannya seakan
tergambar kepada kita seluruh perjalanan dakwah Baginda SAW.
Demikianlah antara panduan yang telah dikemukakan oleh para ulama
tentang ayat-ayat Mekah dan Madinah. Sumbangan ulama ini pastinya mampu memberi
sumbangan besar kepada dunia Islam dalam meletakkan al-Quran sebagai sumber
teras menjadikan Islam agama membawa keamanan ke seluruh dunia.
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 19, Tahun ke-7, 2012.
No comments:
Post a Comment