Jan 25, 2015

TRANFORMASI PENGAJIAN ILMU ISLAM

Pengajian ilmu Islam telah bermula sejak zaman nabi Muhammad SAW sehingga kini. Walau bagaimanapun, sejarah pengajian ilmu agama pada zaman Baginda SAW hanya berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunah. Begitu juga pada zaman Sahabat Rasulullah SAW, ilmu agama tidak dibahagi-bahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu seperti ilmu fiqh, hadis, aqidah dah sebagainya. Daripada aspek pengajian, para sahabat Baginda SAW mengajar al-Quran dan Al-Sunah kepada manusia sebagaimana Rasullullah SAW mengajarkan kepada mereka.  Al-Quran dan Al-Sunah merangkumi kesemua ilmu-ilmu tersebut.
PENGAJIAN ZAMAN SAHABAT DAN SETERUSNYA
Menurut Syeikh Dr. Abdul Aziz bin Abdullah al-Humaidi di dalam kitabnya Rasaail Syumuliyyah menjelaskan bahawa sejarah para sahabat Baginda SAW dan para ulama terdahulu terutamanya mereka yang terlibat dengan penyampaian kuliah agama kepada masyarakat seperti Abu Hurairah Muaz bin Jabal,Ubai bin Kaab, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Amru, mereka secara umumnya menjalinkan huraian ilmu agama dengan al-Quran dan Al-Sunah. Pendekatan yang diambil adalah dengan menjelaskan nas-nas tersebut kemudian menghuraikan masalah yang timbul daripada kedua-duanya.  Mereka tidak akan memanjangkan huraian masalah yang tidak mempunyai penjelasan daripada nas.  Kecuali dalam situasi yang menuntut kepada keperluan fatwa dan ijtihad dalam kes-kes semasa yang timbul di kalangan masyarakat.  Walau bagaimanapun, kepentingan kepada penghuraian yang lebih terperinci dalam aspek-aspek ilmu agama mula berlaku selepas zaman para Sahabat r.a.Pada zaman tabiin dan zaman-zaman seterusnya, berlaku pengkhususan ilmu disebabkan oleh penyebaran hadis-hadis Nabi SAW dan berkembangnya riwayat-riwayat para sahabat r.a tentang hadis-hadis tersebut.  
Selanjutnya berlaku situasi kesedaran di kalangan para ilmuwan untuk memberi penekanan ilmiah. Para ilmuwan secara fokusnya lebih menumpukan kepada usaha menyampaikan penjelasan berbentuk ilmiah dan menitikberatkan kepada jawapan untuk menyelesaikan persoalan dan pemasalah yang timbul dalam masyarakat dan seterusnya berupaya untuk memberi penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi mereka.
Situasi ini merupakan faktor penting yang menyebabkan para ulama menitikberatkan pengajian hukum taklifi (tanggungjawab agama) yang berkaitan dengan amalan ibadah seperti soal solat, zakat dan haji serta aspek-aspek lain berkaitan muamalat. Ini amat bersesuaian dengan keperluan mendesak masyarakat untuk melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah dengan penuh yakin dan sebagai panduan bagi mereka untuk berinteraksi dengan manusia. Di sinilah bermulanya muncul satu bidang ilmu yang dikenali masa kini dengan ilmu fiqh. Iaitu Fiqhul Kitab Wa Sunah.
PENGKHUSUSAN PARA SAHABAT SAW
Faktor selanjutnya yang menyebabkan timbulnya pengkhususan ilmu agama pada zaman tabiin adalah disebabkan oleh kepakaran khas yang dimiliki oleh para sahabat Baginda SAW dalam bidang-bidang tertentu. Sebagai contohnya, Abdullah bin Abbas merupakan pakar dalam bidang tafsir. Lalu terbentuklah kelas pengajian beliau dengan pengkhususan bidang tafsir yang akhirnya melahirkan pelajar-pelajarnya dalam bidang ini.  Manakala Abdullah bin Mas’ud r.a mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti hukum dan kaedah berkaitan istimbat hukum dan dalil-dalil syarak. Maka muncullah sekolah pengajian fiqh Abdullah bin Mas’ud yang telah melahirkan ramai pelajar dalam bidang ini.Begitu juga dengan Abu Hurairah r.a yang mempunyai kepakaran dalam ilmu periwayatan hadis.  Lalu dia melahirkan ulama-ulama hadis.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna para sahabat Baginda SAW hanya mempunyai pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu sahaja.  Bahkan mereka sebenarnya merupakan tokoh ilmuwan Islam pada kesemua disiplin ilmu dalam agama.  Ini dibuktikan dengan ketokohan Abdullah bin Abbas sebagai ahli Fiqh dan Hadis.  Abdullah bin Mas’ud pula mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang Tafsir dan Hadis. Abu Hurairah menyerlah dalam bidang Fiqh dan Tafsir dan begitulah juga para sahabat yang lain.  Walau bagaimanapun, sebahagian mereka tetap mendominasi bidang-bidang tertentu dan akhirnya mereka lebih dikenali sebagai pakar-pakar dalam bidang tersebut.
ZAMAN DEBAT ISU AQIDAH
Pada penghujung era Sahabat r.a, muncul beberapa perkara bid’ah.
Munculnya golongan yang mengingkari qadar Allah SWT. Fahaman yang menyatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar akan kekal dalam neraka dan menghukumkan mereka sebagai kafir. Para ulama di kalangan sahabat r.a dan tabiin terus gigih membendung malapetaka ini.  Keadaan ini juga telah menimbulkan banyaknya perdebatan dan pengkajian yang mendalam yang tidak diperlukan terutamanya berkaitan isu nama-nama dan sifat Allah sehingga ulama menamakan gelanggang pendebatan ini sebagai ilmu kalam. 
Baginda SAW sangat menitikberatkan penjelasan aqidah dan hukum-hakam yang disertakan bersama nas-nas berbentuk peringatan dan ancaman. Pendekatan ini terus diamalkan oleh para sahabat dan kebanyakan ulama kurun-kurun kegemilangan.  Fatwa-fatwa mereka sentiasa dikaitkan dengan al-Quran dan al-Sunah yang merangkumi peringatan, berita-berita yang menggembirakan selain perkara-perkara yang berbentuk ancaman. Ini akan mendorong kaum Muslimin berpegang dengan pegangan yang murni dalam isu berkaitan hukum-hukum agama. Selain itu, mereka juga akan dibentuk dengan keperibadian takwa, unsur-unsur warak dan keunggulan jati diri yang sesuai dengan akhlak Islam.
Zaman yang berlalu turut membawa perubahan kepada ilmu Islam. Berlaku kegersangan dalam seni penyampaian Ilmu Islam. Penghuraiannya tidak lagi menampilkan nas-nas al-Quran dan al-Sunah. Selain itu, berlaku juga pendekatan meringkaskan isi kandungan dalam perbincangannya. Dalil-dalil daripada nas tidak dikemukakan bahkan dalam sesetengah keadaan berlaku percampuran nas antara satu sama lain. 
Perbahasan ilmu aqidah sebagai contohnya, hanya dipenuhi dengan penghujahan logikal tanpa sebarang pengukuhan hujah daripada al-Quran dan al-Sunah. Keadaan ini agak mustahil untuk membentuk nilai akhlak seperti takwa, warak dan proses pengukuhan iman umat Islam.  
PERBAHASAN MASALAH FIQH
Selain itu, berlaku juga situasi percampuran sumber-sumber yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam.  Ini disebabkan kesan daripada pergaulan kaum Muslimin dengan bangsa lain hasil pembukaan kota-kota utama dunia.  Keadaan ini juga disebabkan oleh faktor berlakunya percampuran pemikiran dengan bangsa-bangsa lain yang menyaksikan perpindahan ilmu-ilmu mereka di kalangan umat Islam yang akhirnya membawa kepada penyelewengan aspek-aspek tertentu dalam memahami aqidah.
Dalam permasalahan ilmu Fiqh terutamanya aspek huraian ibadah amali, berlaku penyisihan nas al-Quran dan al-Sunah. Bidang Fiqh juga turut terkesan dengan ringkasan-ringkasan dalam penjelasan hukum-hakam yang tidak menyertakan nas dan dalil.  Walau tidak dinafikan, metodologi ini pada hakikatnya adalah bertujuan untuk memudahkan kefahaman di kalangan pelajar. Tetapi ia turut memberi kesan negatif. Wujudnya kurang penekanan daripada aspek pembangunan akhlak dan pengukuhan iman. Dengan semudah ringkasan bahawa hukum dalam permasalahan tertentu adalah halal, haram, makruh dan wajib. Ketiadaan nas berbentuk didikan nasihat, juga tinta-tinta nas yang mendorong ke arah ketakwaan, titis-titis mangsi keimanan dan prakarsa pahala dan ganjaran. Keadaan ini akhirnya membawa kepada kegersangan hati individu Muslim dengan ciri-ciri penting tersebut.
Sebahagian ulama juga, mengemukakan ayat-ayat hukum sebagai dalil dan meninggalkan komponen peringatan, ancaman dan pernyataan sifat-sifat Allah yang sebenarnya turut terkandung dan amat penting untuk dikemukakan bersama.  Sebagai contoh ayat berkenaan dengan hukuman qisas petikan dari surah al-Baqarah ayat 178 hingga ayat 179 : 
Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang) Dalam perkara orang-orang Yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka Dengan orang merdeka, dan hamba Dengan hamba, dan perempuan Dengan perempuan. maka sesiapa (pembunuh) Yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak Yang terbunuh), maka hendaklah orang Yang mengampunkan itu) mengikut cara Yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) Dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa Yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa Yang tidak terperi sakitnya. Dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa
Jelaslah daripada ayat-ayat tersebut, Allah SWT menamatkan pelaksanaan hukum Qisas dengan amaran, menyatakan kewajaran perlaksanaan hukuman Qisas ini dan segmen akhir ayat berkesudahan dengan misi utama perlaksanaan Qisas adalah mengharapkan Muslim mencapai tahap taqwa.
Menurut Syeikh Dr. Abdul Aziz bin Abdullah al-Humaidi lagi, pendekatan ini sebenarnya telah memberikan kesan negatif kepada dunia Islam. Kefahaman Islam di kalangan masyarakat lebih cenderung berasaskan ijtihad para ulama dan bukannya melalui nas-nas syara’. Selain itu, berlaku kelemahan ketara dalam aspek ijtihad dan masyarakat pula mula bergantung semata-mata kepada taqlid tanpa melihat kepada dalil-dalil. Hal ini disebabkan oleh kesukaran mereka dalam memahami nas. 
Selanjutnya berlakulah situasi kurangnya penekanan kepada aspek pembangunan rohani dan jiwa. Sebaliknya aspek perbahasan teori dan pemikiran mendominasi kehidupan umat. Wujudnya pengasingan antara aspek pembangunan rohani dan aspek perbahasan teori. Hal ini kerana sesetengah ulama lebih cenderung untuk memanjangkan perdebatan dalam masalah teori tikal dan bahas pemikiran idea berbanding aspek pembangunan rohani dan pengukuhan jiwa. Dalam masa yang sama, wujud juga sebahagian pengajar yang menampilkan diri mereka sebagai pencerita yang mampu menarik keterujaan pendengar. Mesej yang mereka telah sampaikan juga tidak satu pun mengandungi aspek kerohanian dan akhlak. Justeru, masyarakat lebih cenderung untuk tertarik dengan pengucapan yang disampaikan oleh pencerita berbanding pengucapan yang disampaikan oleh ulama yang sepatutnya sarat dengan kandungan elemen kerohanian dan pembangunan jiwa.   
ANTARA ULAMA DAN PENDAKWAH
Akhirnya, masyarakat hanya mengenali ulama sebagai individu yang hanya membahaskan aspek teori dan debat berasaskan idea pemikiran semata-mata. Pada masa yang sama, masyarakat masih lagi mampu menarik nafas lega kerana masih terdapat individu atau golongan yang tetap tidak meminggirkan aspek penyampaian elemen kerohanian dan pembangunan jiwa. Tugas ini sebenarnya di galas oleh para pendakwah. Hasil daripada itu, terbentuk pula tanggapan bahawa ulama dan pendakwah adalah dua entiti yang berbeza. Ulama sebagaimana yang telah dikemukakan adalah mereka yang membawa mesej berkaitan teori dan debat idea pemikiran manakala pendakwah adalah mereka yang menitik beratkan aspek pentarbiahan jiwa dan akhlak. Walau bagaimanapun, masih terdapat individu ulama yang mempunyai kedua-dua pendekatan ini. Tapi bilangannya mungkin terlalu kecil. Kerana, seruan ke jalan Allah, pembinaan tarbiah adalah merupakan sebahagian daripada tugas yang tergalas di bahu ulama.  Mereka tidak boleh bersikap evasif dalam hal ini. Ulama seharusnya menyeru umat kepada Allah, membangunkan jiwa umat dengan keimanan, memurnikan keperibadian umat dengan akhlak terpuji selain tetap menjelaskan hukum-hakam bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.
KESIMPULAN
Justeru, pendekatan pengajaran ilmu Islam dalam semua bidang memerlukan integrasi pautan nas yang sempurna. Tidak berlaku pemisahan komponen-komponen nas. Nas-nas yang ditampilkan perlu dikemukakan dalam ayatnya yang sempurna tanpa sebarang pengasingan. Sebagai contohnya, komponen berkaitan fiqh perlu disertakan juga dengan komponen seruan ke arah ketakwaan dan dorong keimanan. Begitu juga dengan perbincangan hangat berkaitan permasalahan agama perlu diamankan dengan titis tarbiah iman dan takwa. Akhirnya, pembentukan diri generasi muslim berilmu berpadu akhlak tinggi akan dapat dijelmakan dalam kancah kehidupan umat yang kegersangan kudwah ikutan.  
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 23, Tahun ke-9, 2014.

KESYUMULAN MAKNA IBADAH

Ibadah seringkali hanya digambarkan dengan aktiviti mendirikan solat, tazkirah, zikir, qiamullail dan sebagainya. Aktivi harian lain seperti memandu kenderaan, menghadiri mesyuarat, bersukan, berkebun dan sebagainya pula seringkali dianggap sebagai urusan dunia. Hanya masjid tempat ibadah sedangkan pejabat dan lokasi kerja lain bukan tempat ibadah. Begitu juga keadaannya dengan mereka yang berada di tikar sejadah adalah mereka yang sedang melakukan ibadah. Sedangkan mereka yang berada di kerusi pejabat adalah mereka yang sedang menguruskan urusan dunia. Tanpa menafikan bahawa solat adalah ibadah, namun adakah aktiviti lain tidak termasuk dalam pengertian ibadah.
Pengertian Ibadah
Menurut Dr. Abdul Aziz Abdullah al-Humaidi di dalam kitab karangannya Rasaail Syumuliyyah, ibadah dari sudut bahasa ialah merasa terhina dan tunduk patuh. Dari sudut syara’ pula, ibadah membawa makna pemusatan aktiviti kepada Allah  dengan melaksanakan syariat-Nya yang terhasil dari kesempurnaan perasaan hina diri, tunduk patuh, taat dan cinta.
Memetik definasi yang diberikan oleh Ibnu Taymiyyah, Dr. Wahbah Zuhaili menukilan makna ibadah dalam kitabnya Fiqhul Islam Wa Adillatuh bahawa ibadah itu adalah kata nama yang umum yang merangkumi semua perkara yang disukai Allah  dan yang diredai-Nya samada dari perkataan atau perbuatan yang zahir atau yang tersembunyi.
Maka dengan ini, merangkumi pengertian ibadah adalah solat, zakat, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran, berzikir dan berbuat baik kepada anak yatim. Juga termasuk dalam pengertian ini ialah perasaan takut kepada Allah, cintakan Allah  dan Rasul-Nya, bersyukur dengan nikmat dan redo dengan ketentuanNya.
Bahagian Ibadah
Menurut Dr. Abdul Aziz lagi, Ibadah mempunyai tiga bahagian. Bahagian pertama ialah
amalan hati seperti bertawakkal, mengharap dan takut kepada Allah serta sifat sabar. Bahagian kedua ialah ibadah-ibadah zahir yang biasa dilihat seperti pergerakan dalam solat, perbuatan menunaikan zakat, melaksanakan tuntutan puasa dan sebagainya.
Bahagian ketiga pula ialah semua perkara yang boleh menghasilkan pahala bila melakukannya atau meninggalkannya. Amalan ini adalah amalan selain daripada ibadah-ibadah zahir tadi. Cuma, perlakuan ini diturut disertakan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Contohnya seperti makan, minum dan sebagainya yang diniatkan kerana Allah semata-mata.
Antara dalil yang mengukuhkan makna kesyumulan pengertian ibadah adalah sebagaimana firman Allah dalam surah azzariyaat ayat 56 :
 Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Ayat ini menjelaskan antara tujuan penciptaan manusia dan jin adalah untuk menyerah diri kepada Allah. Yakin dan kasih kepada Allah. Menjadikan suruhan dan larangan Allah sebagai ukuran dalam mengurus kehidupan. Dengan kefahaman inilah, membuktikan bahawa kefahaman ibadah tidak terhad kepada ibadah zahir seperti solat dan meminggirkan tuntutan agama yang lain seperti jihad di jalan Allah, mendirikan Daulah Islam, melakukan kebaikan kepada masyarakat, memakmurkn dunia seluruhnya serta menyumbang kepada keutuhan negara dari segenap aspek ekonomi, sosial dan sebagainya. Ini terbukti dengan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 55 :
Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka.”
Sesungguhnya Allah telah memutuskan janji kepada orang beriman dan mereka yang melakukan perbuatan baik, bahawa Allah akan memberi mereka kekuatan untuk menjadi pentadbir bumi ini. Mereka akan mengurus dan memakmurkan dunia dengan syariat Allah. Kesan kepada syariat inilah, dunia akan bertukar dari kemelesetan ekonomi, kepada kestabilan. Dari sekempitan hidup dialami rakyat kepada kekayaan. Dari keruntuhan moral kepada hidup berakhlak. Ini juga menolak kefahaman mereka yang menghadkan makna ibadah kepada mendirikan solat dan ibadah zahir lain semata-mata.
Kefahaman bahawa ibadah hanya terhad kepada aktiviti ibadah zahir sahaja adalah tidak tepat lantaran paderi-paderi Kristian menyembunyikan diri mereka di gereja-gereja.  Sedangkan urusan dunia mereka serahkan kepada golongan yang bukan agamawan.
Jenis Ibadah Dan Kesannya Kepada Masyarakat
Jenis ibadah dari aspek ini terbahagi kepada dua. Pertama ialah ibadah Khas. Ibadah khas adalah ibadah yang kebaikannya secara umum, hanya terhad kepada pelaku ibadah tersebut sahaja. Antara contohnya ialah solat, puasa dan zikir.
Yang kedua ialah ibadah Muta’adiyah. Ibadah ini pula manfaatnya turut dirasai oleh orang lain seperti bersedeqah, amar makruf dan nahi mungkar, berakhlak mulia, berjihad dan sebagainya.
Antara kedua-dua jenis ibadah ini, ibadah jenis yang kedua merupakan ibadah yang paling mencabar untuk diterapkan oleh individu. Terdapat beberapa faktor yang mendorong situasi ini. Pertama, ibadah khas tidak memerlukan persiapan awal yang sukar. Dengan ini, ianya memudahkan pelaku untuk terus melakukanya sendirian tanpa melibatkan orang lain. Sebagai contoh, mereka boleh terus berzikir tanpa perlu melakukan apa-apa persiapan yang rumit. Sedangkan ibadah Muta’adiyah pula memerlukan persiapan yang sukar. Contohnya, bersedekah memerlukan usaha untuk mencari harta yang banyak. Jadi manusia agak sukar untuk melakukan sedekah berbanding zikir atas sebab faktor ini.
Faktor kedua ialah faktor cabaran yang perlu ditempuhi dalam ibadah khas adalah mudah berbanding ibadah Muta’adiyah . Solat sebagai contohnya, hanya berhadapan dengan sikap malas dan sikap suka berehat menjadi halangan. Walaubagaimanapun ibadah bersedaqah perlu berhadapan dengan sikap sayangkan harta yang sudah semestinya amat sukar untuk diatasi.
Faktor yang terakhir adalah faktor kefahaman makna ibadah di kalangan masyarakat itu sendiri. Sebagaimana yang telah dibincangkan, ibadah itu hanya difahami sekitar ibadah khas dan tidak pada ibadah Muta’adiyah.  Ibadah yang mendatangkan pahala dan memenuhi tuntutan islam hanya diperolehi melalui ibadah khas. Seseorang itu akan dikatakan soleh, alim dan warak jika banyak melakukan ibadah khas. Bagi individu yang mentadbir negara, mengurus organisasi, mengendalikan mesyuarat yang bertujuan kerana Allah pula adalah orang yang mementingkan dunia.
Kesimpulannya, semua aktiviti harian yang kita lakukan kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala selagi ianya tidak bertentangan dengan syariah dan berteraskan niat kerana Allah. Hal ini kerana makna ibadah adalah luas dan syumul. 


#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 17, Tahun ke-7, 2012.

AYAT-AYAT MEKAH DAN MADINAH


Para ulama mendefinisikan al-Quran adalah Kalam Allah, diturunkan kepada nabi Muhammad SAW dan menjadi ibadah apabila dibacakan.  Daripada definisi tersebut, terungkaplah gambaran bahawa al-Quran merupakan kitab panduan ungggul menjadi sumber kemajuan tamadun manusia.
Dalam perkembangan ilmu al-Quran, para ulama khususnya ulama ulum al-Quran turut mengemukakan tajuk membincangkan ayat-ayat Mekah dan Madinah. Hal ini relevan kerana al-Quran telah melalui sejarah penurunan di kedua-dua tempat suci tersebut. 
Pengertian Ayat Mekah Dan Ayat Madinah
Walaubagaimanpun, terdapat tiga pandangan ulama  berkaitan dengan makna ayat Mekah dan Madinah. Syeikh Manna’ al-Qattan di dalam Kitabnya Mabahaith Fi Ulumul-Quran menyatakan pendapat pertama menyatakan bahawa ayat Mekah bermaksud ayat-ayat yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah baginda nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Manakala ayat Madinah pula bermakna ayat-ayat yang diturunkan selepas hijrah walaupun lokasi penurunannya di Mekah. Seperti ayat 58 surah al-Nisa’ yang diturunkan pada tahun pembukaan Kota Mekah. Pendapat ini menilai aspek zaman penurunan al-Quran tersebut. 
Pendapat kedua, ayat Mekah ialah ayat yang diturunkan di Mekah dan lokasi berhampiran dengannya seperti di Mina, Arafah dan Hudaibiyyah. Manakala ayat yang dikategorikan sebagai ayat Madinah ialah ayat al-Quran yang diturunkan di Madinah dan lokasi berhampiran dengannya seperti di Uhud dan Quba’. Pendapat ini meletakkan lokasi penurunan ayat sebagai ukuran. Pendapat yang ketiga pula mendefinisikan ayat Mekah ialah ayat yang ditujukan kandungannya kepada penduduk Mekah. Dan begitulah sebaliknya ayat Madinah ditujukan kepada penduduk Madinah. Contoh yang dikemukakan adalah seperti ayat yang menyeru “wahai  manusia” adalah ayat dalam kategori Mekah. Manakala ayat yang dimulakan dengan “wahai orang-orang yang beriman” adalah ayat Madinah. 
Gaya Bahasa Dan Kandungan Mesej Ayat Mekah
Dalam menyampaikan mesej, al-Quran mempunyai gaya bahawa yang berbeza antara ayat Mekah dan ayat Madinah. Antara ciri gaya bahasa ayat Mekah ialah pertama, seruan dakwah kepada mentauhidkan Allah SWT, mengukuhkan kebenaran risalah nabi Muhammad SAW, kebenaran mesej hari kebangkitan dan pembalasan, mengemukakan gambaran hari Kiamat dan suasananya, neraka dan azabnya, syurga dan kenikmatannya, perdebatan kaum Musyrikin dan kandungan penghujjahan logikal kepada mereka. 
Kedua, meletakkan asas umum perundangan syariat dan kelebihan nilai akhlak yang menjadi asas pembangunan masyarakat seperti isu memakan harta anak yatim sebagai satu kezaliman, kezaliman menanam anak hidup-hidup dan sebagainya. 
Ketiga, menampilkan kisah-kisah nabi dan para rasul terdahulu sebagai mesej peringatan untuk dijadikan pengajaran tentang kesudahan kaum terdahulu yang menentang. Keempat, menampilkan kandungan ayat ringkas dengan kekuatan lafaz sehingga memberi kesan kepada pendengar bahkan boleh menberi kesan mendalam kepada hati mereka. 
Gaya Bahasa Dan Kandungan Mesej Ayat Madinah
Bagi ayat-ayat Madinah pula, gaya bahasanya adalah mengandungi tajuk-tajuk muamalat, ibadat, hudud, perundangan kekeluargaan, harta pewarisan, kelebihan berjihad, solat berjemaah, hubungan diplomatik antara kerajaan dalam kontek peperangan dan perdamaian.Kedua, mengemukakan bicara ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani serta penolakan mereka tentang kebenaran risalah. 
Selanjutnya, ayat-ayat Madinah juga membongkar sifat-sifat dan ciri orang munafik dan amaran tentang bahaya mereka kepada agama. Akhir sekali, ayat-ayat Madinah tampil dengan ayat-ayat panjang dengan gaya bahasa memperkukuhkan syariat menjelaskan tujuannya.
Faedah Mengetahui Ayat-Ayat Mekah dan Madinah
Perbahasan ulama tentang ayat-ayat Mekah dan Madinah telah meninggalkan faedah yang tersendiri. Antaranya ialah, menjaga al-Quran dalam kontek pentafsiran. Hal ini kerana, pengetahuan tentang tempat turun ayat tersebut akan membantu dalam memahami tafsiran sebenar. Selain itu, pengetahuan ini juga akan memberi kesan kepada aspek dakwah terutamanya kesan gaya bahasa al-Quran itu sendiri. Bahkan memberi panduan kepada para pendakwah menggunakan uslub dakwah berkesan kepada sasaran dakwah mereka. Akhir sekali, pengetahuan tentang ilmu ini juga dapat menyusuri sirah nabi Muhammad SAW. Kita akan dapat mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku berserta dengan masanya. Bermula dari awal penurunan wahyu sehingga akhir ayat yang diturunkannya seakan tergambar kepada kita seluruh perjalanan dakwah Baginda SAW.
Demikianlah antara panduan yang telah dikemukakan oleh para ulama tentang ayat-ayat Mekah dan Madinah. Sumbangan ulama ini pastinya mampu memberi sumbangan besar kepada dunia Islam dalam meletakkan al-Quran sebagai sumber teras menjadikan Islam agama membawa keamanan ke seluruh dunia.
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 19, Tahun ke-7, 2012.

Oct 28, 2013

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa Atas Tiap-Tiap Sesuatu

1) [al-Baqarah : 20] Perubahan dan perkembangan dari gelap kepada cahaya

20. Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali Kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan Dalam cahayanya. dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu Dengan bingungnya). dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

2) [al-Baqarah : 106] Perubahan dan perkembangan mansukh dengan penggantian ayat

106. apa sahaja ayat keterangan Yang Kami mansukhkan (batalkan), atau Yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti Yang lebih baik daripadanya, atau Yang sebanding dengannya. tidakkah Engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

3) [al-Baqarah : 109] Perubahan dan perkembangan dari kekufuran kepada iman

109. banyak di antara ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki Yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

4) [al-Baqarah : 259] Perubahan dan perkembangan dari membangunkan negeri setelah musnah

259. atau (tidakkah Engkau pelik memikirkan Wahai Muhammad) tentang orang Yang melalui sebuah negeri Yang telah runtuh Segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan Dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama Engkau tinggal (di sini)?" ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (tidak benar), bahkan Engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan Engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, Bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya Dengan daging ". maka apabila telah jelas kepadanya (Apa Yang berlaku itu), berkatalah dia: sekarang Aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

5) [al-Imran : 165] Perubahan dan perkembangan dari kemenangan kepada kekalahan

165. (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), Yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh Dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

6) [an-Nahl : 77] Perubahan dan perkembangan dari kewujudan kepada kiamat

77. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui Segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

7) [an-Nur : 45] Perubahan dan perkembangan dari tiada kepada kewujudan

45. dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan Yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan Dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan Dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja Yang ia kehendaki (selain dari Yang tersebut), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

8) [al-Ankabut : 20] Perubahan dan perkembangan penciptaan kembali

20. katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah Bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) Dalam bentuk kejadian Yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

9) [al-Fatir : 1] Perubahan dan perkembangan kejadian makhluk

1. Segala puji tertentu bagi Allah Yang menciptakan langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat utusan-utusan Yang bersayap: dua, tiga dan empat; ia menambah pada bentuk kejadian makhluk Yang diciptakannya apa jua Yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Oct 19, 2013

BAGAIMANA AJAR ANAK HAFAZ QURAN

BAGAIMANA ANAK KECIL HAFAZ QURAN
Melihat telatah anak kecil membaca surah al-Waaqiah di laman youtube pastikan membuatkan ibubapa teruja. Teruja untuk pastikan anak kecil mereka juga seperti anak kecil itu. Walaubagaimanapun, ghairah saya tidak terlalu terusik untuk mengikuti kebolehan anak kecil itu.bukan memperkecilkan jauh sekali menganggapnya tidak bermakna. Tapi pada saya, ada perkara lain lagi yang lebih penting untuk diutamakan.

HAFAL SURAH AL-FAATIHAH
Sebolehnya saya mahu Izzah kenal Allah. Bukan hafal nama asma ul husna dengan alunan nasyid yang biasa dialunkan pelajar-pelajar sekolah agama. Atau tahu isu “istiwa’” sebagaimana galak dibahaskan para ustaz kecil. Tapi saya mahu Izzah yang ketika ini sudah berusia 3 tahun kenal Allah. Kenal bahawa Allah tempat dia mohon pertolongan kalau dia jatuh basikal kesakitan. Allah yang dia akan mohon pertolongan kalau lapar. Kalau dia nak makan, bia dia ingat Allah. Biar dia tahu Allah wujud. Bukan hanya pada bibirnya tapi pada kefahaman dia. Bagaimana saya nak mula. Saya tahu, nak ajarkan aqidah pada anak saya ini, saya perlu guna pendekatan al-Quran. Bawa kefahaman Quran dalam dirinya. Saya pilih dulu surah faatihah. Izzah perlu ingat surah itu.barulah maknanya. Bukan makna satu-persatu atau kalimah demi kalimah, tapi kefahamannya.

HAFAL SURAH FAATIHAH DALAM KERETA
Kebiasaan selepas pulang dari kerja, saya yang akan ambil Izzah pulang ke rumah. Jarak dari rumah pengasuh ke rumah kami membolehkan saya ulang berpuluh kali surah itu. Saya baca sahaja sambil bertarannum ( walau tak sehebat mana). Kadang-kadang saya tukar kepada alunan syeikh Saad al-Ghamidi, Syeikh Khalil, Syeikh Mahir Muailiqi. Bergema suara saya satu kereta. Tapi hanaya kami berdua sahaja yang dengar.Untuk lebih menarik minat Izzah, saya alunkan surah itu dengan mimik muka sekali. Seolah saya sedang berhadapan dengan beribu penonton dalam musabaqah al-Quran. Kadang-kadang, saya pasangkan MP3 bacaan surah itu. Kalau dia dah mula boring, saya akan cabar dia. Saya cakap Izzah tak pandai, Abi pandai. Dia lantas tercabar. Dia cuba baca. Walau masih belum ingat 100%.tapi dah ada kemajuan dari hari ke hari. Selain itu, di rumah umminya juga membantu. Sentuhan uminya lunak dan lembut.sentuhan saya sedikit nakal. Keanakan. Lama kelamaan izzah dah dapat baca. Kini setelah kehadiran ahli baru dalam keluarga kami, Muhammad Al-Faateh. Saya kekadang buat pertandingan dengan izzah.Pertandingan untuk buktikan kepada adiknya siapa yang lebih pandai dan lebih kuat suara bacaan faatihah untuk diperdengarkan kepada adiknya, Faateh. Bergema “stadium” rumah kami dengan suara kami berdua dengan penonton tetapnya adalah uminya. Kini secara perlahan-lahan saya cuba terapkan makna surah itu kepada Izzah.

HAFAL SURAH KEDUA DALAM MASA 2 MINGGU
Kehadiran Faateh buka ruang untuk Izzah hafal surah kedua dengan lebih cepat. Saya pilih surah al-Ikhlas. Kerana surah ini jelas memberi ketuguhan iman kepada Allah. Saya biarkan Izzah hafal dulu surah ini sebelum saya terapkan kefahamannya pada Izzah. Sekali lagi Faateh dipergunakan. Selain mempertandingan bacaan Quran di depan adiknya. Nyata Izzah tewas. Sebab dia langsung masih belum mampu ingat surah itu. Dia merajuk sebab dia tak dapat berlawan “musabaqah” dengan abinya. Akhirnya saya pujuk dia, saya janjikan akan ajarnya sampai pandai. Saya baca satu kalimah demi satu kalimah. Kemudian menjadi satu ayat. Beralih pula ayat kedua. Sehingga habis.Kalau dia sudah boring. Saya ugutnya untuk mengajar surah kepada adiknya. Biar adiknya terlebih dahulu pandai daripadanya. Ternyata usaha saya berbaloi.selepas dua minggu izzah dan dapat hala surah “Aqidah” kedua.

Jul 15, 2013

Jangkaan Baki Ujrah-PTPTN

Berdasarkan baki semasa 31/12/2012 berjumlah RM18120.93 dan dengan bayaran bulanan RM171.07, maka baki pinjaman unjuran adalah seperti berikut :

Jun 2013 : RM 16923.44
Januari 2014 : RM 15897.02
Januari 2015 : RM 13844.18
Januari 2016 : RM 11791.34
Januari 2017 : RM 9738.50
Januari 2018 : RM 7685.66
Januari 2019 : RM 5632.82
Januari 2020 : RM 3579.98
Januari 2021 : RM 1527.14
September 2012 : RM 158.58

May 8, 2013

Analisis PRU-13 Yang Mengejutkan : Berguna untuk tujuan Petition


Analisis ini lebih menjurus kepada melihat secara terperinci perolehan majoriti bagi BN dan PR dalam RPU-13 yang lalu. Hasil dapatan ini, menunjukkan bahawa daripada jumlah 133 parlimen dikuasai BN, BN menguasai 26.31 % (35 kerusi) parlimen yang dimenangi dengan majoriti 10 000 ke atas. Manakala BN memperoleh 98 parlimen atau 73.69 % bagi parlimen dengan kemenangan majoriti kurang dari 10 000 undi.

Di pihak PR, dari jumlah 89 kerusi yang dimenangi, PR telah memperoleh sebanyak 48 kerusi dengan majoriti 10 000 ke atas atau 53.96%. Baki 41 parlimen atau 46.04 % adalah kerusi yang dimenangi dengan majoriti kurang 10 000 undi.

Kesimpulan, kekalahan yang diterima oleh BN adalah dengan kekalahan dengan majoriti yang besar dan sebaliknya PR kekalahan mereka adalah majoriti yang sedikit.

Bahkan terdapat 12 kerusi yang dimenangi BN adalah dengan majoriti kurang 1000 berbanding PR hanya 4 kerusi.

Jika PR merancang untuk melakukan bantahan atau Petition, terdapat 67 parlimen yang dimenangi BN dengan majoriti bawah 5000 undi.

Apr 26, 2013

PRU-12 : Jumlah Kerusi Terjamin dan Berisiko antara BN vs PR

Dengan analisis ini, masing-masing BN dan PR akan mudah untuk merancang kawasan parlimen yang boleh mereka fokuskan untuk merampas kerusi lawan masing-masing. Berdasarkan rajah di atas, secara ringkasnya kita dapat simpulkan, semakin besar jumlah majoriti diperolehi, semakin kukuh kedudukan penyandang untuk kekal menang pada PRU-13 kali ini dan begitulah sebaliknya. Jika andaian bahawa perolehan majoriti 5999 ke bawah berisiko untuk tumbang, maka BN mempunyai 62 kerusi. Manakala PR mempunyai 46 kerusi. Dari jumlah tersebut, BN mempunyai 6 kerusi dengan majoriti kurang 999 manakala PR mempunyai 10 kerusi.

Dari sisi jumlah kerusi yang selesa atau terjamin kedudukan untuk kekal iaitu yang mempunyai majoriti 10000 ke atas, maka BN mempunyai 38 kerusi manakala PR 28 kerusi.Dari jumlah tersebut, BN mempunyai 3 kerusi yang memperoleh majoriti 20000 dan ke atas manakala PR sebanyak 9 kerusi. 

manakala jumlah kerusi dengan perolehan majoriti sebanyak 6000 hingga 9999, BN mempunyai 25 kerusi dan PR 15 kerusi.Kerusi-kerusi ini, boleh di anggap berisiko sederhana.

Walaubagaimanapun, pada PRU-12 lalu, BN menang tanpa bertanding di 8 kerusi. 

Untuk PR menang pada PRU-13,PR hanya perlu menumpukan 26 kerusi yang dimenangi BN pada PRU-12 lalu dengan majoriti kurang 3000 undi. Untuk lebih terjamin, PR boleh mensasarkan 4 kerusi yang di menangi BN tanpa bertanding. Jika ini benar-benar berjaya, di samping kekal kemenangan kerusi-kerusi yang pernah dikuasai pada PRU-12 lalu. 6 Mei nanti PR akan memenangi 119 kerusi dan BN 103 kerusi. Bahkan PR pada ketika ini masih mempunyai perbezaan kerusi sebanyak 16 kerusi. 

Manakala, BN hanya mengekalkan kerusi sedia ada yang dimenangi di samping memastikan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding ditukar kemenangan dengan majoriti.

Kerusi Parlimen Berisiko Tinggi PRU13

KERUSI BERISIKO : BN VS PR
Andaian asas berpendapat kemungkinan besar kerusi parlimen yang dijangka akan kalah kepada lawan masing-masing pada PRU-13 ialah kerusi parlimen yang memperoleh kurang  3000 undi pada PRU12. Pada PRU tersebut, terdapat 53 kerusi parlimen yang dimenangai secara majoriti kurang 3000 undi. Dari jumlah tersebut masing-masing BN mempunyai 26 kerusi dan PR diwakili 27 kerusi. Dari jumlah tersebut juga, BN diwakili 6 kerusi yang memperoleh majoriti kurang 1000 undi manakala PR sebanyak 8 kerusi (Rujuk Rajah 1).

CALON BEBAS BERI KESAN DI 20 KERUSI
Selain itu, terdapat 20 kerusi yang memperlihatkan pertandingan lebih dari 2 penjuru melibatkan PR,BN, Calon BEBAS dan parti-parti lain. Senarai parlimen terbabit adalah berwarna merah (rujuk rajah 1). Ini bakal memberi kesan pecah undi kepada BN dan PR. Jika calon BEBAS terutamanya, adalah daripada ahli BN yang dipecat keahliannya, maka ianya akan memberi kesan negatif kepada BN dan begitulah sebaliknya di pihak PR.

4 KERUSI BERISIKO TINGGI BN KALAH
Walaubagaimanapun, terdapat 4 kerusi parlimen yang menyaksikan BN ditentang oleh calon BEBAS daripada bekas ahli sendiri. Kerusi-kerusi tersebut ialah Arau (P4), Kuala Kangsar (P67), Lembah Pantai (P121) dan Bandar Tun Razak (P124). Kerusi-kerusi ini berisiko akan berlakunya pecah undi dikalangan pengundi BN sendiri. Terutamanya parlimen Arau kerana majoriti lalu hanya 300 undi.Secara tidak langsung, ianya memberi kesan positif kepada PR. Sejauh mana angka pecah undi tersebut semestinya bergantung kepada jumlah ahli yang bertindak melakukan sabotaj atau protes dalam proses pengundian. Mampukah ianya mecapai angka 3000 undi. Jika ya, maka kerusi-kerusi tersebut dijangka akan dimenangi oleh PR.  

1 KERUSI BERISIKO TINGGI PR KALAH
Hanya 1 kerusi Parlimen yang berisiko tinggi di pihak PR kerana berhadapan dengan calon BEBAS dari bekas ahli sendiri iaitu di Parlimen Indera Mahkota (P82).

7 KERUSI PARLIMEN BN BAKAL TUMBANG
Kerusi yang pertama ialah Parlimen Arau. Ini kerana majoriti PU12 ialah hanya 400 undi. Disamping faktor kehadiran calon BEBAS yang bakal sedikit sebanyak memecahkan undi melayu.
Bagi Parlimen Kuala Kangsar, BN terpaksa berhadapan dengan seorang bekas nama besar dalam pergerakan wanita UMNO sebagai wakil BEBAS.Ini juga akan memberi kelebihan kepada PR.Calon BEBAS ini bakal membawa suara wanita tidak diberi ruang dalam BN.
Bagi kerusi LUMUT, dengan majoriti PRU12 lalu hanya 298 kerusi,Ianya agak berisiko untuk jatuh ke tangan PR. Degnan komposis kaum Cina adalah 35.37 % selain fator PR menampilkan calon melayu berbanding BN Datuk Seri Kong Cho Ha.
Kerusi Hulu Selangor pula merupakan kerusi melibatkan pertembungan 4 penjuru dengan kehadiran 2 wakil BEBAS. Dua wakil BEBAS tersebut masing-masing diwakili oleh Datuk Seri Santaran dan Radzali.
Berdasarkan sambutan semasa,Parlimen Putrajaya bakal jatuh ke tangan PR dengan meletakkan Husam Musa sebagai calon PR.
Bagi Parlimen Sarikei (P208), kawasan tersebut mempunyai komposisi kaum Cina sebanyak 66.2%, Iban 26.3% dan Melayu 6.7%. Oleh itu, Parlimen ini berkemungkinan besar akan jatuh ke tangan PR.
Parlimen Sandakan (P186), pertandingan adalah di antara calon BN dan PR. Pada PRU12 lalu, parlimen ini melibatkan pertebungan 3 penjuru dimana calon BN peroleh 8297, calon PR peroleh 8121 dan seorang calon BEBAS peroleh 2929. Kesemua calon dari bangsa Cina. Dengan pengunduran calon BEBAS pada PRU13 ini selain faktor majoriti kaum Cina di sini (61.45%). Maka dijangkakan kerusi ini akan dimenangi oleh PR yang diwakili oleh wakil DAP.

1 KERUSI PR BAKAL DIMENANGI OLEH BN
Parlimen Ketereh berkemungkinan jatuh ke tangan BN dengan Reformer Bola Sepak Kelantan Datuk Seri Annuar Musa bakal memanfaatkan kemenangan tipis PR pada PRU lalu dengan hanya 400 undi.

Apr 21, 2013

Jangkaan Keputusan PRU-13 Muktamad


Ramalan ini adalah berdasarkan kepada beberapa faktor. terutama selepas selesai penamaan calon. selain faktor andaian pembahagian sokongan kepada parti ( Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa, sokongan kepada BN ialah 70%,30%,60%,50%. Selebihnya bagi setiap komposisi kaum tersebut adalah berpihak kepada PR )  faktor lain ialah seperti protes ahli gabungan parti yang mewakili calon bebas yang memberi kesan pecah undi dan faktorkehadiran parti serpihan lain seperti BERJASA. Berdasarkan faktor tersebut, maka keputusan PRU-13 dijangkakan seperti berikut :

1-PERLIS                      2-KEDAH                          3-KELANTAN
BN:2                              BN:3                                    BN:4
PR:1                               PR:12                                  PR:10

4-TERENGGANU        5-P.PINANG                       6-PERAK
BN:6                              BN:1                                    BN:11
PR:2                               PR:12                                   PR:13

7-PAHANG                   8-SELANGOR                   9-W.PERSEKUTUAN

BN:12                             BN:5                                   BN:4
PR:2                                PR:17                                  PR:9

10-N.SEMBILAN         11-MELAKA                      12-JOHOR

BN:5                               BN:6                                    BN:20
PR:3                                PR:0                                     PR:6

13-SABAH                    14-SARAWAK                   

BN:16                             BN:25                                   
PR:9                                PR:6

Keputusan jangkaan ini akan memuktamadkan bahawa kerajaan BN masih mampu memerintah dengan jumlah penguasaan parlimen adalah 118 manakala PR sebanyak 102 kerusi. Apapun, yang akan memuktamadkannya adalah RAKYAT pada 5 Mei nanti...saksikanlah...

Apr 16, 2013

RAMALAN KEPUTUSAN PRU-13 VERSI 1

Ramalan ini adalah berdasarkan kepada dua faktor. Pertama, masing-masing parti komponen (BN dan PR) mengekalkan kemenangan masing-masing pada PRU-12 lalu. Kedua, Keputusan tersebut hanya berubah dengan perubahan sokongan berdasarkan komposisi kaum parlimen tersebut. Bagi faktor kedua, pembahagian sokongan adalah seperti berikut : Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa, sokongan kepada BN ialah 70%,30%,60%,50%. Selebihnya bagi setiap komposisi kaum tersebut adalah berpihak kepada PR. Berdasarkan faktor tersebut, maka keputusan PRU-13 dijangkakan seperti berikut :

1-PERLIS                      2-KEDAH                          3-KELANTAN
BN:3                              BN:4                                    BN:2
PR:0                               PR:11                                  PR:12

4-TERENGGANU        5-P.PINANG                       6-PERAK
BN:6                              BN:2                                    BN:13

PR:2                               PR:11                                   PR:11

7-PAHANG                   8-SELANGOR                   9-W.PERSEKUTUAN

BN:12                             BN:5                                   BN:2

PR:2                                PR:17                                  PR:11

10-N.SEMBILAN         11-MELAKA                      12-JOHOR
BN:5                               BN:6                                    BN:20

PR:3                                PR:0                                     PR:6
13-SABAH                    14-SARAWAK                     
BN:23                             BN:25                                     
PR:2                                PR:6

Keputusan jangkaan ini akan memuktamadkan bahawa kerajaan BN masih mampu memerintah dengan jumlah penguasaan parlimen adalah 128 manakala PR sebanyak 94 kerusi.

RAMALAH VERSI KEDUA akan datang dengan mengambil kira faktor kekuatan calon.                                    

Jan 31, 2013

Statistik PRU-13

Satu tinjauan oleh sekumpulan ahli akademik di kampus Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan lebih ramai siswa cenderung memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Kajian sikap ke atas 1,009 orang siswa UM itu menunjukkan, seramai 18.6 peratus daripada responden tersebut memilih Pakatan untuk kerusi parlimen, berbanding 8.7 peratus yang memilih BN.Sebahagian besarnya, seramai 72.6 peratus memberi jawapan tidak pasti. 

Di UKM pula sebanyak 30.1 peratus daripada 1,006 responden memilih Pakatan di peringkat parlimen, manakala 29.8 peratus menyokong BN, sementara 40.1 peratus menjawab tidak pasti.

Ini menjumlahkan peratusan di kedua-dua universiti tersebut adalah sebanyak 24.35 peratus memilih Pakatan dan 19.25 peratus kepada BN manakala 56.35 peratus menjawab tidak pasti. Jika diandaikan  nisbah 40 :60 daripada 56.35 peratus yang menjawab tidak pasti. Dengan PR yang berjaya mendapatkan nisbah 60 berbanding BN 40, maka yang memilih PR akan peroleh 56.16 peratus dan BN 41.79 peratus. Dan jika BN  berjaya mendapatkan nisbah 60 maka PR peroleh 46.89 dan BN 53.06 peratus.Nisbah 60 : 40 bagi pembahagian yang menjawab tidak pasti kerana faktor persaingan sengit yang akan dijangkakan antara PR dan BN pada PRU-13 akan datang.


Bagi peringkat DUN pula, seramai 22.4 peratus mahasiswa UM memilih calon Pakatan berbanding 8.7 peratus yang memilih BN, dan selebihnya tidak pasti.Trend sama juga dilihat di kalangan pelajar UKM – seramai 31.6 peratus memilih Pakatan manakala 27.1 akan menyokong BN untuk kerusi DUN tersebut.

Jumlah mahasiswa yang memilih wakil DUN di kedua-dua universiti, PR memperoleh 27 peratus dan BN 17.9 peratus dan memberi jawapan tidak pasti adalah sebanyak 55.1 peratus.Jika diandaikan  nisbah 40 :60 daripada 55.1 peratus yang menjawab tidak pasti. Dengan PR yang berjaya mendapatkan nisbah 60 berbanding BN 40, maka yang memilih PR akan peroleh 60.06 peratus dan BN 39.94 peratus. Dan jika BN  berjaya mendapatkan nisbah 60 maka PR peroleh 49.04 peratus dan BN 50.96 peratus.

Seramai 63 peratus daripada mahasiswa UM menjangkakan kemenangan BN, berbanding 37 peratus yang mahu melihat kemenangan Pakatan.Di UKM, seramai 54.6 peratus daripadanya menjangkakan kemenangan BN, berbanding 45.4 peratus yang lain.

Faktor ini tidak terlalu memberi kesan lantaran beberapa andaian yang mungkin dijangkakan oleh respondant antaranya penguasaan media oleh BN, tahap ketelusan pengendalian pilihanraya dan lain-lain andaian. Skop kajian ini perlu disertakan dengan kajian bagi mengenalpasti andaian respondant terhadap perkara-perkara tersebut. 

Manakala, satu tinjauan oleh sekumpulan ahli akademik di kalangan mahasiswa di tiga universiti awam menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih popular berbanding ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat lain.

Tinjauan berkenaan mendapati Najib popular di kalangan 67.4 peratus siswa, berbanding Anwar (52.2 peratus), presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (33.1 peratus) dan Lim Kit Siang (15 peratus).

Bagi tinjauan ini pula, sepatutnya hanya seorang tokoh sahaja disertakan bagi mewakili setiap gabungan parti yang bertanding. tetapi sebaliknya PR di pecahkan kepada 3 tokoh pilihan. 

Tinjauan ke atas 3,015 responden dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dijalankan oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) antara 9 hingga 12 Disember tahun lepas. Hasil kajian tersebut dibentang oleh Prof Emeritus Datuk Dr Sulaiman Md Yassin sewaktu membentangkan kajian maklumbalas daripada 1,000 mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Di UM, seramai 41.4 peratus daripada 1,009 siswa menyatakan prestasi kepimpinan Najib baik, manakala 40.9 peratus menyatakan sederhana dan selebihnya menyatakan lemah. Sementara di UKM pula, 75.1 peratus daripada 1,006 siswa lagi menyatakan prestasi kepimpinan perdana menteri baik dan 15.2 peratus menyatakan sederhana.

Selain itu, taburan responden juga dibahagikan mengikut negeri masing-masing.Data yang digariskan dalam kajian itu menonjolkan populariti Najib di kalangan siswa dari negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, dan dua negeri yang dianggap kubu kuat BN.

Populariti Najib mencapai 60.8 peratus di kalangan siswa Kelantan dan seterusnya Pulau Pinang (55 peratus), Kedah (68.3 peratus), Selangor (54 peratus), Sabah (54 peratus) dan Sarawak (61.6 peratus).

Berdasarkan rekod terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperoleh Utusan Malaysia pada JUn 2012,pengundi muda yang dalam kategori lingkungan umur 21 hingga 39 tahun - telah mencecah angka 5.2 juta orang.Manakala jumlah sample kajian yang diambil di kedua-dua univesiti ini tersebut berjumlah 2015 atau 0.03875 peratus dari jumlah pengundi yang direkodkan oleh SPR tersebut. adalah mampu sample tersebut mewakili jumlah pengundi muda seluruhnya.

 


sumber dipetik dan diubahsuai dari : www.malaysiakini.com