Aug 9, 2010

antara Kronologi Pengharaman ESQ

1-3 Ogos 2008
Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM telah
menghantar beberapa orang pegawai untuk menghadiri
kursus ESQ di Hotel Summit, Subang Jaya, Selangor.
Ini adalah bagi menjalankan kajian dan siasatan
terhadap kursus ini selepas menerima aduan daripada
orang ramai yang bertanyakan tentang status kursus
tersebut atas alasan wujud kesangsian dan keraguan
dalam metodologi atau pendekatan yang dilakukan.

28 Ogos 2008
Perbincangan tentang isu berkenaan ESQ telah
dibentangkan di dalam Mesyuarat Panel Kajian Akidah
JAKIM (PKA) Kali Ke-38. Mesyuarat ini telah
memutuskan perkara-perkara berikut:
a) Terdapat keraguan-keraguan yang dikhuatiri
boleh menyelewengkan akidah di dalam kursus
tersebut; dan
b) Doktrin bahawa kebenaran boleh diperolehi
melalui pengalaman/pencarian (termasuk oleh
para nabi) perlu dijadikan asas kepada
penyelewengan ESQ.

14 Oktober 2008
Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA)
berkenaan ESQ telah diadakan. Mesyuarat ini telah
bersetuju dengan pembentangan oleh ahli PKA, Prof.
Madya Dr. Mohd. Fauzi bin Hamat bahawa keraguankeraguan
yang dikhuatiri boleh menyelewengkan
akidah di dalam kursus ESQ adalah wujud
sebagaimana yang telah dibentangkan oleh urusetia
JAKIM pada mesyuarat PKA Kali Ke-38.

10 Februari 2009
Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA)
berkenaan ESQ telah diadakan sekali lagi. Mesyuarat ini
telah menyenaraikan penyelewengan-penyelewengan
yang terdapat di dalam ESQ sebagaimana berikut:
a) Kursus ESQ akan mewujudkan golongan yang
mengakui kewujudan nabi baru berdasarkan
ideologi yang diterapkan;
b) Kursus ini mengajar bahawa akal adalah lebih
besar daripada wahyu;
c) Kursus ini banyak menggunakan istilah-istilah
agama yang ditafsirkan menggunakan tafsiran
bebas tanpa disiplin;
d) Teori suara hati di dalam kursus ini boleh
mengelirukan orang awam; dan
e) Kursus ini cuba mencampuradukkan perbincangan
tentang hakikat kewujudan antara falsafah Islam
dan Barat.
Mesyuarat telah mengambil keputusan bahawa
Kursus ESQ Leadership Training anjuran Ary
Ginanjar Agustian perlu disekat dan diharamkan dari
beroperasi di Malaysia dan kertas kerja
berkenaannya diangkat ke Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia.

02 April 2009
Pihak JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Ary
Ginanjar Agustian, pengasas ESQ Leadership Centre
bertempat di Dewan Syura JAKIM, Blok D7, Kompleks
D, Putrajaya dan telah menyimpulkan bahawa:
a) Ary Ginanjar Agustian masih bertegas dengan
pendiriannya menggunakan pendekatan sumber
manusia (human resource) gaya Barat untuk
mengembangkan konsep pembinaan sumber
manusia yang dikatakan berasaskan Islam;
b) Beliau sukar menerima hakikat bahawa ajaran
Islam perlu dirujuk kepada sumber-sumber Islam
yang berautoriti seperti kitab-kitab tafsir dan Hadis;
c) Beliau lebih banyak berhujah bahawa beliau
adalah benar dengan menggunakan sentimen
sokongan daripada badan-badan Islam di
Indonesia, golongan korporat dan tokoh-tokoh
kenamaan di dalam kerajaan dan swasta;
d) Beliau tidak akan berganjak dengan modul ESQ
yang sedia ada dengan pernyataan beliau bahawa
beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk
mengeluarkan ayat-ayat Al-Quran bagi modul di
Malaysia tetapi tidak di negara lain; dan
e) Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang
berunsur ugutan dan amaran seperti meletakkan
beberapa pilihan kepada JAKIM termasuk menarik
diri dari Malaysia sekiranya ESQ diharamkan.

21-23 April 2009
Kertas kerja berkenaan kedudukan Kursus ESQ
Leadership Training di Malaysia, yang telah diteliti oleh
Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA), telah dibentangkan di
dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-86. Muzakarah ini telah memutuskan bahawa faktafakta
yang dikemukakan di dalam kertas kerja
tersebut adalah sekadar suatu kemungkinan sahaja
dan tidak boleh dijadikan asas penentuan hukum.
Oleh yang demikian, satu jawatankuasa pemantau luar
perlu dilantik oleh JAKIM untuk menilai aktiviti ESQ
Leadership Training di Malaysia.

23-25 Jun 2009
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 telah
memutuskan bahawa kajian lanjut oleh panel pemantau
perlu diteruskan. Muzakarah juga turut bersetuju dan
membenarkan kursus-kursus ESQ diteruskan
sehingga hasil kajian diperolehi.

17 Ogos 2009
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum
Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-75 telah
memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership
Training adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
Keputusan ini adalah berpandukan kepada kertas
kerja yang telah disediakan oleh Bahagian
Penyelidikan JAKIM dan berdasarkan keputusan
Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM pada 10
Februari 2009.

02 Oktober 2009
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 telah
diadakan. Muzakarah dimaklumkan bahawa pihak ESQ
Leadership Training telah menubuhkan Panel Syariah
ESQ yang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato’ Mustafa
bin Abdul Rahman. Walau bagaimanapun, tiada tarikh
perlantikan dikemukakan. Muzakarah ini masih
bersetuju dan membenarkan kursus-kursus ESQ
diteruskan sehingga hasil kajian oleh Panel
Pemantau ESQ diperolehi.

14-16 Disember 2009
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-89 telah diadakan. Muzakarah ini masih bersetuju
dan memperakukan bahawa kursus-kursus ESQ
diteruskan sehingga hasil kajian oleh Panel
Pemantau ESQ diperolehi.

01 Mac 2010
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 telah
mengambil maklum tentang kertas laporan yang telah
disediakan oleh Panel Pemantau ESQ. Berdasarkan
kajian yang telah dijalankan, panel ini telah menemui
beberapa unsur yang bercanggah dengan pegangan
Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam kursus ESQ
seperti pluralisme agama, pengaruh Universal Sufi
Order, al-fayd, suara hati dan katarsis. Kajian ini
juga mendapati terdapat kekeliruan dari aspek
penggunaan istilah-istilah seperti God Spot, Zero
Mind Process, fitrah dan Conscience. Walaupun
begitu, muzakarah masih belum membuat sebarang
keputusan mengenai ESQ kerana menganggap hasil
penemuan tersebut adalah zhanni.

14 April 2010
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
telah bersetuju membuat rumusan awal bahawa hasil
penemuan oleh Panel Pemantau ESQ adalah zhanni
yang masih boleh dijelaskan. Muzakarah juga
bersetuju bahawa keputusan terhadap Kursus ESQ
Leadership Training akan diputuskan di dalam
muzakarah yang akan datang.

dipetik dari: http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/KRONOLOGI_FATWA_ESQ.pdf

No comments: