Jan 25, 2015

NASAKH DAN MANSUKH

Pengenalan
Perbincangan nasakh dan mansukh merupakan sebahagian dari skop bidang ilmu Ulum al-Quran. Penurunan al-Quran yang membawa kepada perlaksanaan hukum syariat telah terbukti meraikan kemanusiaan. Tempoh transisi dari zaman kegelapan Jahiliyyah kepada zaman gemerlapan cahaya Islam pastinya perlu meraikan nilai bertahap dan beransur-ansur.
Takrif
Dari aspek pentakrifan, nasakh dari segi bahasa ialah menggugurkan sesuatu dan menghilangkannya.  Dari segi aspek istilah pula, ia membawa erti membatalkan hukum syarak dengan hukum syarak yang baru.
Bahagian
Nasakh terbahagi kepada empat bahagian induk.
Bahagian Pertama : Nasakh al-Quran Dengan al-Quran. 
 Ulama bersepakat dengan keharusan nasakh ini.  Contoh dapat dilihat dari ayat dari surah al-Baqarah ayat 240:
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, Iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
 Ayat tersebut telah dinasakhkan dengan ayat dari surah yang sama ayat 234 :
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan”.
Bahagian Kedua : Nasakh Al-Quran Dengan As-Sunnah. 
Nasakh bahagian ini mempunyai dua komponen.  Komponen yang pertama ialah nasakh al-Quran dengan sunnah al-Ahadiah  (hadis-hadis bertaraf  ahad).  Pertimbangan Jumhur ulama dalam komponen nasakh ini adalah tidak harus.  Hal ini kerana al-Quran bertaraf mutawatir dan diyakini.  Manakala Sunnah al-Ahadiah berstatus tidak diyakini.  Sesuatu yang tidak diyakini tidak boleh menggugurkan sesuatu yang diyakini tarafnya.  Komponen kedua ialah nasakh al-Quran dengan as-Sunnah al-Mutawatirah (hadis-hadis bertaraf mutawatir).  Komponen ini diharuskan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dengan hujjah bahawa sunnah adalah wahyu daripada Allah seperti al-Quran.  Sandarannya adalah dari surah an-Najm  ayat 3 hingga 4:
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”.
 Manakala Imam as-Syafie dan golongan Zahiriah tidak mengharuskan nasakh komponen ini bedasarkan kepada ayat 106 surah al-Baqarah :   
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah Engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?”.
Status Sunnah pada pandangan mereka tidak setanding al-Quran bahkan tidak mampu menyamainya.  
Bahagian Ketiga: Nasak As-Sunnah Dengan Al-Quran.
Nasakh bahagian ini diharuskan oleh jumhur ulama.  Mengarahkan kiblat ke Baitul Maqdis ketika solat adalah thabit dalam Sunnah. Tidak ada petunjuk dari al-Quran memberi petanda keperluan menghadap qiblat ketika solat ke Baitul Maqdis. Ini memberikan indikasi bahawa ianya adalah thabit di dalam as-Sunnah dan bukannya melalui al-Quran. Walaubagaimanapun al-Quran menasakhkan  hukum ini melalui surah al-Baqarah ayat 144 :
Kerap kali kami melihat Engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang memandang ke langit, maka kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”.
Indikasi dari ayat tersebut jelas supaya mengarahkan diri ke arah kaabah di Mekah ketika solat berbanding Baitul Maqdis.
Bahagian Keempat : nasakh as-Sunnah dengan as-Sunnah
Bahagian ini pula terbahagi kepada empat komponen:  
Pertama : Nasakh As-Sunnah Mutawatirah Dengan As-Sunnah Mutawatirah
Kedua : Nasakh As-Sunnah Al-Ahad Dengan As- Sunnah Al-Ahad
Ketiga : Nasakh As-Sunnah Al-Ahad Dengan As- Sunnah Mutawatirah
Keempat : Nasakh As-Sunnah Mutawatirah Dengan As- Sunnah Al-Ahad
Bagi keempat-empat komponen tersebut , ulamak mengharuskan berlakunya nasakh pada komponen pertama, kedua dan ketiga.  Walaubagaimanapun jumhur ulama tidak mengharuskan berlakunya nasakh dalam komponen keempat.
Nasakh Dalam al-Quran
Nasakh dalam al-Quran terbahagi kepada tiga jenis. Secara umumnya, pembahagian jenis ini melibatkan isu nasakh dan pengekalan antara hukum dan bacaan. Jenis-jenis tersebut ialah :  
Pertama :  Nasakh Bacaan Dan Hukum
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Amrah binti Abdul Rahman daripada Aisyah r.a sesungguhnya beliau berkata : “Menurut apa yang diturunkan daripada Al-Qur’an sebelumnya bahawa sepuluh kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansukhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan mengharamkan mereka. Maka wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (sebahagian mereka) terus membacanya daripada ayat Al-Qur’an.” (Sunan Abi Daud : kitab an-Nikah, Hadis 1769)
Kedua :  Nasakh Hukum Dan Mengekalkan Bacaan 
Ini berlaku dalam ayat 240 surah al-Baqarah.
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, Iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, Dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Ketiga :  nasakh bacaan dengan mengekalkan hukum
Contoh ialah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab mengenai ayat tentang rajam, “Orang tua laki-laki dan orang tua perempuan  ( jika sampai melakukan perbuatan zina)  maka rajamlah keduanya dengan pasti”(Muwata’ : kitab Hudud,Hadis 939)
Kesimpulan
Allah SWT Maha Bijaksana dan Maha Mengasihi dalam menetapkan hukum syariat,  Inilah yang dapat dizahirkan dalam perlaksanaan nasakh dan mansukh. Jelasnya, perlaksanaan nasakh dan mansukh ini telah meraikan kemaslahatan manusia dalam tempoh perlaksanaan syariah dan penetapan sepanjang peredaran masa.  Kehadiran syariat dalam kehidupan manusia dengan beransur-ansur menghayati roh tadarruj.  Roh tadarruj yang tersirat melalui metologi dakwah Islam itu sendiri.  Pergerakan taklif hukum syariat dari yang ringan kepada yang sederhana taklif dan selanjutnya kepada yang lebih berat. Setimpal dengan kesediaan jiwa, roh dan emosi manusia. 
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 20, Tahun ke-8, 2013.

No comments: