“Dan
tidaklah Kami mengutus kamu(Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh
alam.”
Inilah
tujuan sebenar perutusan Rasulullah s.a.w yang memperkenalkan sistem
syariah Islam kepada manusia. Syariah ini mempunyai konsep keadilan dan
keamanan. Dr Mohammad Hashim Kamali di dalam bukunya, Prinsip-Prinsip Dalam
Undang-Undang Islam menyatakan bahawa kalimah rahmah ini membawa
pengertian jelas tentang apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah
ialah menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan
dari terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina
keamanan sejagat. Dengan penjelasan ini, maka rahmat yang dibawa oleh nabi
Muhammad s.a.w adalah jelas dinyatakan dalam perlaksanaan maslahah dalam
kehidupan manusia. Maslahah ini juga perlu dijaga dan dipertahankan dari
sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya. Oleh itu, ulama’
berpendapat bahawa rahmat merupakan asas perlaksanaan syariah.
Ulama’
Usulul Fiqh menjelaskan bahawa terdapat 3 pembahagiaan maslahah.Maslahah
tersebut ialah Dhoruriyyat, Hajiyyaat dan Tahsiniyyat. Dr Abdul
Karim Zaidan di dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan bahawa
dhoruriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan oleh manusia bagi
menjamin kehidupan yang sempurna. Dhoruriyyat juga diperlukan bagi
memastikan kehidupan mereka tidak membawa kepada sebarang bentuk kesengsaraan.
Terdapat 5 perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan,
akal, dan harta. Keperluan yang dimaksudkan itu adalah agama, jiwa, aqal, keturunan
dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.
Perkara pertama ialah agama. Manusia memerlukan agama yang benar untuk
memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip yang dibawa agama
tersebut. Ini kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa
panduan agama. Tidak ada agama yang mampu merealisasikan matlamat ini melainkan
agama Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Imran ayat 19 sebagaimana
bermaksud:
“Sesungguhnya
agama di sisi Allah adalah agama Islam.”
Lantaran
kepentingan agama, Allah telah mengizinkan para sahabat di zaman Rasul s.a.w
untuk berperang. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Hajj ayat 39 yang
bermaksud:
“Telah
diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya
mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa
menolong mereka.”
Perkara kedua ialah jiwa. Islam amat menitik beratkan aspek menjaga
jiwa. Hanya dengan jiwa manusia menjadi satu entiti yang hidup. Di dalam
al-Quran Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan
membunuh. Ini bertujuan untuk memberi jaminan kepada perlindungan jiwa. Allah
berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 33 yang bermaksud:
“dan janganlah
kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar,
dan barang siapa yang membunuh secara zalim maka sesungguhnya kami telah
memberi kekuasaan(hak untuk membalas) kepada ahli warisnya, tetapi janganlah
mereka(ahli waris) itu melampaui batas dalam membunuh(membalas), sesungguhnya
dia adalah orang yang mendapat pertolongan.”
Islam amat menekankan kepada penganutnya untuk mementingkan penjagaan keturunan
daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan,
terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia ini. Penekanan Islam ini dapat
di lihat dari pengharaman zina di dalam Al-Quran. Sebagaimana yang di dapati di
dalam surah Al-Isra’ ayat 32 sebagaimana bermaksud:
“ Dan janganlah
kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji, dan adalah
jalan yang buruk”
Islam tidak hanya
melarang dari melakukan perbuatan yang mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa
kepada zina, bahkan turut menyediakan satu hukuman tetap kepada mereka yang
melakukan perbuatan zina ini. Ini dapat dilihat dari al-Quran surah An-Nur ayat
2 yang bermaksud:
“ Penzina
perempuan dan penzina lelaki, maka rotanlah tiap-tiap orang dari keduanya
seratus kali, dan janganlah kasihan kepada keduanya menyebabkan
kamu tidak menjalankan agama Allah,jika kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat, dan hendaklah hukuman itu disaksikan oleh golongan yang beriman.”
Larangan dari
mendekati zina dengan ketetapan bentuk hukuman yang akan diterima
membuktikan bahawa Islam amat mementingkan perlindungan aspek keturunan ini.
Harus diingatkan bahawa hukuman yang ditetapkan bukanlah bertujuan untuk
mendenda mereka yang melakukan perbuatan ini, tetapi di sebalik perlaksanaan hukuman
ini tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia.
Perkara yang keempat adalah akal. Akal sangat penting kepada
kehidupan manusia. Dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan yang
dilakukan adalah tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan amat penting bagi
manusia kerana ia boleh mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung
kepada keharmonian hidup. Dengan akal yang cerdas memberi kelebihan kepada
seorang pelajar untuk mencapai kejayaan berbanding dengan rakan mereka yang
lain. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka perlu bijak melakukan keputusan dan
tindakan demi menjamin kebahagiaan keluarga. Oleh sebab itu antara langkah awal
Islam untuk menjaga kepentingan akal ini kepada manusia, Allah telah
mengharamkan arak kepada umat Islam. Ini dapat dilihat dari surah al-Maaidah
ayat 90 yang bermaksud:
“Hai orang-orang
yang beriman, Sesungguhnya khamar, berjudi, korban berhala, mengundi nasib
dengan panah adalah perbuatan keji yang merupakan sebahagian dari perbuatan
syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.”
Perkara terakhir yang perlu di lindungi oleh manusia ialah harta.
Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Mereka
perlu bekerja untuk mendapatkan harta. Dengan harta manusia dapat memenuhi
keperluan mereka untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya.
Dengan ini jelaslah bahawa harta merupakan perkara penting bagi memastikan
keharmonian hidup manusia. Islam menyedari hakikat ini. Oleh itu Allah SWT telah
memberi panduan kepada manusia dalam usaha mereka untuk mendapatkan harta. Di
dalam surah an-Nisa’ ayat 29 Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan cara yang
salah, kecuali melalui perniagaan yang berlaku dengan saling mempersetujui
antara kamu, Dan janganlah kamu membunuh diri mu, sesungguhnya Allah adalah
Maha Penyayang kepada mu.”
Walau
bagaimanapun, Islam tidak hanya memberi panduan kepada manusia, bahkan turut menetapkan
hukuman kepada mereka yang mengambil harta orang lain dengan jalan mencuri. Hal
ini dapat dilihat dari surah al-Maidah ayat 38 yang bermaksud:
“pencuri
laki-laki dan pencuri perempuan , maka potonglah tangan kedua-duanya, sebagai
balasan bagi apa yang mereka telah lakukan dan sebagai seksaan dari Allah Yang
Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Sesungguhnya, Islam tidak
sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik
Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada
pada manusia. Allah SWT sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman
yang telah ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan
kepada manusia, dan semua perkara yang dihalalkan oleh Allah mengandungi hikmah
kebaikan kepada manusia. Renungilah firman Allah yang bermaksud:
“…dan Allah menghalalkan
bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk
dan membuang daripada mereka beban-beban serta belenggu-belenggu(kesusahan)yang
ada pada mereka…” (Al-Quran 7:157)
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil.
22, Tahun ke-8, 2013.
No comments:
Post a Comment