Jan 25, 2015

TRANFORMASI PENGAJIAN ILMU ISLAM

Pengajian ilmu Islam telah bermula sejak zaman nabi Muhammad SAW sehingga kini. Walau bagaimanapun, sejarah pengajian ilmu agama pada zaman Baginda SAW hanya berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunah. Begitu juga pada zaman Sahabat Rasulullah SAW, ilmu agama tidak dibahagi-bahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu seperti ilmu fiqh, hadis, aqidah dah sebagainya. Daripada aspek pengajian, para sahabat Baginda SAW mengajar al-Quran dan Al-Sunah kepada manusia sebagaimana Rasullullah SAW mengajarkan kepada mereka.  Al-Quran dan Al-Sunah merangkumi kesemua ilmu-ilmu tersebut.
PENGAJIAN ZAMAN SAHABAT DAN SETERUSNYA
Menurut Syeikh Dr. Abdul Aziz bin Abdullah al-Humaidi di dalam kitabnya Rasaail Syumuliyyah menjelaskan bahawa sejarah para sahabat Baginda SAW dan para ulama terdahulu terutamanya mereka yang terlibat dengan penyampaian kuliah agama kepada masyarakat seperti Abu Hurairah Muaz bin Jabal,Ubai bin Kaab, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Amru, mereka secara umumnya menjalinkan huraian ilmu agama dengan al-Quran dan Al-Sunah. Pendekatan yang diambil adalah dengan menjelaskan nas-nas tersebut kemudian menghuraikan masalah yang timbul daripada kedua-duanya.  Mereka tidak akan memanjangkan huraian masalah yang tidak mempunyai penjelasan daripada nas.  Kecuali dalam situasi yang menuntut kepada keperluan fatwa dan ijtihad dalam kes-kes semasa yang timbul di kalangan masyarakat.  Walau bagaimanapun, kepentingan kepada penghuraian yang lebih terperinci dalam aspek-aspek ilmu agama mula berlaku selepas zaman para Sahabat r.a.Pada zaman tabiin dan zaman-zaman seterusnya, berlaku pengkhususan ilmu disebabkan oleh penyebaran hadis-hadis Nabi SAW dan berkembangnya riwayat-riwayat para sahabat r.a tentang hadis-hadis tersebut.  
Selanjutnya berlaku situasi kesedaran di kalangan para ilmuwan untuk memberi penekanan ilmiah. Para ilmuwan secara fokusnya lebih menumpukan kepada usaha menyampaikan penjelasan berbentuk ilmiah dan menitikberatkan kepada jawapan untuk menyelesaikan persoalan dan pemasalah yang timbul dalam masyarakat dan seterusnya berupaya untuk memberi penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi mereka.
Situasi ini merupakan faktor penting yang menyebabkan para ulama menitikberatkan pengajian hukum taklifi (tanggungjawab agama) yang berkaitan dengan amalan ibadah seperti soal solat, zakat dan haji serta aspek-aspek lain berkaitan muamalat. Ini amat bersesuaian dengan keperluan mendesak masyarakat untuk melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah dengan penuh yakin dan sebagai panduan bagi mereka untuk berinteraksi dengan manusia. Di sinilah bermulanya muncul satu bidang ilmu yang dikenali masa kini dengan ilmu fiqh. Iaitu Fiqhul Kitab Wa Sunah.
PENGKHUSUSAN PARA SAHABAT SAW
Faktor selanjutnya yang menyebabkan timbulnya pengkhususan ilmu agama pada zaman tabiin adalah disebabkan oleh kepakaran khas yang dimiliki oleh para sahabat Baginda SAW dalam bidang-bidang tertentu. Sebagai contohnya, Abdullah bin Abbas merupakan pakar dalam bidang tafsir. Lalu terbentuklah kelas pengajian beliau dengan pengkhususan bidang tafsir yang akhirnya melahirkan pelajar-pelajarnya dalam bidang ini.  Manakala Abdullah bin Mas’ud r.a mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti hukum dan kaedah berkaitan istimbat hukum dan dalil-dalil syarak. Maka muncullah sekolah pengajian fiqh Abdullah bin Mas’ud yang telah melahirkan ramai pelajar dalam bidang ini.Begitu juga dengan Abu Hurairah r.a yang mempunyai kepakaran dalam ilmu periwayatan hadis.  Lalu dia melahirkan ulama-ulama hadis.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna para sahabat Baginda SAW hanya mempunyai pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu sahaja.  Bahkan mereka sebenarnya merupakan tokoh ilmuwan Islam pada kesemua disiplin ilmu dalam agama.  Ini dibuktikan dengan ketokohan Abdullah bin Abbas sebagai ahli Fiqh dan Hadis.  Abdullah bin Mas’ud pula mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang Tafsir dan Hadis. Abu Hurairah menyerlah dalam bidang Fiqh dan Tafsir dan begitulah juga para sahabat yang lain.  Walau bagaimanapun, sebahagian mereka tetap mendominasi bidang-bidang tertentu dan akhirnya mereka lebih dikenali sebagai pakar-pakar dalam bidang tersebut.
ZAMAN DEBAT ISU AQIDAH
Pada penghujung era Sahabat r.a, muncul beberapa perkara bid’ah.
Munculnya golongan yang mengingkari qadar Allah SWT. Fahaman yang menyatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar akan kekal dalam neraka dan menghukumkan mereka sebagai kafir. Para ulama di kalangan sahabat r.a dan tabiin terus gigih membendung malapetaka ini.  Keadaan ini juga telah menimbulkan banyaknya perdebatan dan pengkajian yang mendalam yang tidak diperlukan terutamanya berkaitan isu nama-nama dan sifat Allah sehingga ulama menamakan gelanggang pendebatan ini sebagai ilmu kalam. 
Baginda SAW sangat menitikberatkan penjelasan aqidah dan hukum-hakam yang disertakan bersama nas-nas berbentuk peringatan dan ancaman. Pendekatan ini terus diamalkan oleh para sahabat dan kebanyakan ulama kurun-kurun kegemilangan.  Fatwa-fatwa mereka sentiasa dikaitkan dengan al-Quran dan al-Sunah yang merangkumi peringatan, berita-berita yang menggembirakan selain perkara-perkara yang berbentuk ancaman. Ini akan mendorong kaum Muslimin berpegang dengan pegangan yang murni dalam isu berkaitan hukum-hukum agama. Selain itu, mereka juga akan dibentuk dengan keperibadian takwa, unsur-unsur warak dan keunggulan jati diri yang sesuai dengan akhlak Islam.
Zaman yang berlalu turut membawa perubahan kepada ilmu Islam. Berlaku kegersangan dalam seni penyampaian Ilmu Islam. Penghuraiannya tidak lagi menampilkan nas-nas al-Quran dan al-Sunah. Selain itu, berlaku juga pendekatan meringkaskan isi kandungan dalam perbincangannya. Dalil-dalil daripada nas tidak dikemukakan bahkan dalam sesetengah keadaan berlaku percampuran nas antara satu sama lain. 
Perbahasan ilmu aqidah sebagai contohnya, hanya dipenuhi dengan penghujahan logikal tanpa sebarang pengukuhan hujah daripada al-Quran dan al-Sunah. Keadaan ini agak mustahil untuk membentuk nilai akhlak seperti takwa, warak dan proses pengukuhan iman umat Islam.  
PERBAHASAN MASALAH FIQH
Selain itu, berlaku juga situasi percampuran sumber-sumber yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam.  Ini disebabkan kesan daripada pergaulan kaum Muslimin dengan bangsa lain hasil pembukaan kota-kota utama dunia.  Keadaan ini juga disebabkan oleh faktor berlakunya percampuran pemikiran dengan bangsa-bangsa lain yang menyaksikan perpindahan ilmu-ilmu mereka di kalangan umat Islam yang akhirnya membawa kepada penyelewengan aspek-aspek tertentu dalam memahami aqidah.
Dalam permasalahan ilmu Fiqh terutamanya aspek huraian ibadah amali, berlaku penyisihan nas al-Quran dan al-Sunah. Bidang Fiqh juga turut terkesan dengan ringkasan-ringkasan dalam penjelasan hukum-hakam yang tidak menyertakan nas dan dalil.  Walau tidak dinafikan, metodologi ini pada hakikatnya adalah bertujuan untuk memudahkan kefahaman di kalangan pelajar. Tetapi ia turut memberi kesan negatif. Wujudnya kurang penekanan daripada aspek pembangunan akhlak dan pengukuhan iman. Dengan semudah ringkasan bahawa hukum dalam permasalahan tertentu adalah halal, haram, makruh dan wajib. Ketiadaan nas berbentuk didikan nasihat, juga tinta-tinta nas yang mendorong ke arah ketakwaan, titis-titis mangsi keimanan dan prakarsa pahala dan ganjaran. Keadaan ini akhirnya membawa kepada kegersangan hati individu Muslim dengan ciri-ciri penting tersebut.
Sebahagian ulama juga, mengemukakan ayat-ayat hukum sebagai dalil dan meninggalkan komponen peringatan, ancaman dan pernyataan sifat-sifat Allah yang sebenarnya turut terkandung dan amat penting untuk dikemukakan bersama.  Sebagai contoh ayat berkenaan dengan hukuman qisas petikan dari surah al-Baqarah ayat 178 hingga ayat 179 : 
Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang) Dalam perkara orang-orang Yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka Dengan orang merdeka, dan hamba Dengan hamba, dan perempuan Dengan perempuan. maka sesiapa (pembunuh) Yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak Yang terbunuh), maka hendaklah orang Yang mengampunkan itu) mengikut cara Yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) Dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa Yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa Yang tidak terperi sakitnya. Dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa
Jelaslah daripada ayat-ayat tersebut, Allah SWT menamatkan pelaksanaan hukum Qisas dengan amaran, menyatakan kewajaran perlaksanaan hukuman Qisas ini dan segmen akhir ayat berkesudahan dengan misi utama perlaksanaan Qisas adalah mengharapkan Muslim mencapai tahap taqwa.
Menurut Syeikh Dr. Abdul Aziz bin Abdullah al-Humaidi lagi, pendekatan ini sebenarnya telah memberikan kesan negatif kepada dunia Islam. Kefahaman Islam di kalangan masyarakat lebih cenderung berasaskan ijtihad para ulama dan bukannya melalui nas-nas syara’. Selain itu, berlaku kelemahan ketara dalam aspek ijtihad dan masyarakat pula mula bergantung semata-mata kepada taqlid tanpa melihat kepada dalil-dalil. Hal ini disebabkan oleh kesukaran mereka dalam memahami nas. 
Selanjutnya berlakulah situasi kurangnya penekanan kepada aspek pembangunan rohani dan jiwa. Sebaliknya aspek perbahasan teori dan pemikiran mendominasi kehidupan umat. Wujudnya pengasingan antara aspek pembangunan rohani dan aspek perbahasan teori. Hal ini kerana sesetengah ulama lebih cenderung untuk memanjangkan perdebatan dalam masalah teori tikal dan bahas pemikiran idea berbanding aspek pembangunan rohani dan pengukuhan jiwa. Dalam masa yang sama, wujud juga sebahagian pengajar yang menampilkan diri mereka sebagai pencerita yang mampu menarik keterujaan pendengar. Mesej yang mereka telah sampaikan juga tidak satu pun mengandungi aspek kerohanian dan akhlak. Justeru, masyarakat lebih cenderung untuk tertarik dengan pengucapan yang disampaikan oleh pencerita berbanding pengucapan yang disampaikan oleh ulama yang sepatutnya sarat dengan kandungan elemen kerohanian dan pembangunan jiwa.   
ANTARA ULAMA DAN PENDAKWAH
Akhirnya, masyarakat hanya mengenali ulama sebagai individu yang hanya membahaskan aspek teori dan debat berasaskan idea pemikiran semata-mata. Pada masa yang sama, masyarakat masih lagi mampu menarik nafas lega kerana masih terdapat individu atau golongan yang tetap tidak meminggirkan aspek penyampaian elemen kerohanian dan pembangunan jiwa. Tugas ini sebenarnya di galas oleh para pendakwah. Hasil daripada itu, terbentuk pula tanggapan bahawa ulama dan pendakwah adalah dua entiti yang berbeza. Ulama sebagaimana yang telah dikemukakan adalah mereka yang membawa mesej berkaitan teori dan debat idea pemikiran manakala pendakwah adalah mereka yang menitik beratkan aspek pentarbiahan jiwa dan akhlak. Walau bagaimanapun, masih terdapat individu ulama yang mempunyai kedua-dua pendekatan ini. Tapi bilangannya mungkin terlalu kecil. Kerana, seruan ke jalan Allah, pembinaan tarbiah adalah merupakan sebahagian daripada tugas yang tergalas di bahu ulama.  Mereka tidak boleh bersikap evasif dalam hal ini. Ulama seharusnya menyeru umat kepada Allah, membangunkan jiwa umat dengan keimanan, memurnikan keperibadian umat dengan akhlak terpuji selain tetap menjelaskan hukum-hakam bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.
KESIMPULAN
Justeru, pendekatan pengajaran ilmu Islam dalam semua bidang memerlukan integrasi pautan nas yang sempurna. Tidak berlaku pemisahan komponen-komponen nas. Nas-nas yang ditampilkan perlu dikemukakan dalam ayatnya yang sempurna tanpa sebarang pengasingan. Sebagai contohnya, komponen berkaitan fiqh perlu disertakan juga dengan komponen seruan ke arah ketakwaan dan dorong keimanan. Begitu juga dengan perbincangan hangat berkaitan permasalahan agama perlu diamankan dengan titis tarbiah iman dan takwa. Akhirnya, pembentukan diri generasi muslim berilmu berpadu akhlak tinggi akan dapat dijelmakan dalam kancah kehidupan umat yang kegersangan kudwah ikutan.  
#diterbitkan dalam Buletin Darul Quran, Bil. 23, Tahun ke-9, 2014.

No comments: