Aug 3, 2015

MOTIVASI SEMASA KERJA

Kebanyakan masa kita banyak dihabiskan dengan masa bekerja. Ada yang berurusan dipejabat, bengkel, tapak bangunan dan sebagainya. Masa-masa bekerja pula dilalui dengan penuh dedikasi dan tekun. Ini semua kita lakukan bagi memastikan kelangsungan hidup di dunia ini. Walaubagaimanapun, harus kita sedari betapi aktiviti utama kita ini hendak sentiasa mendapat panduan dan nasihat. Agar amalan kita tidak sia-sia bahkan terjamin dengan pahala dan keredoaan Allah. Oleh itu, disertakan di sini beberapa saranan yang boleh mengingatkan kita dalam bekerja.

KERJA KERANA ALLAH
Niat merupakan perkara penting dalam melakukan sesuatu amalan. Niat perlu sentiasa diperbetulkan dari semasa ke semasa. Terutama dalam melakukan kerja. Ini bagi memastikan hati itu mendetikkan Allah. Kerana tempat niat itu adalah hati. Dan hati sentiasa berubah-ubah. Manusia pula sentiasa lupa. Tidak sukar sebenarnya untuk memastikan kerja yang kita lakukan sentiasa berada dilandasan tujuannya. Tindakan ini boleh dicadangkan untuk dilakukan semasa anda melangkah keluar dari tempat kerja. Atau setidak-tidaknya semasa anda memandu kenderaan anda. Tetapkan persoalan kenapa saya bekerja? Apakah ada nanti ada aktiviti yang saya akan lakukan tidak bersesuaian dengan kehendak Allah? Ungkapkanlah juga doa dalam hati agar Allah memudahkan dan memberkati pekerjaan yang akan kita lakukakan pada hari ini.

SOLAT MEREHATKAN TEKANAN
Kerja kerana Allah, ada penilaiannya dalam agama. Solat merupakan tiang agama Justeru hubungan kerja dengan solat tidak dapat dipisahkan. Kerja yang membebankan tidak menghalang untuk kita bersujud kepada Allah. Mendirikan solat selama beberapa minit tidak menjadi halangan menyelesaikan kerja yang berjam-jam. Kerja berjam-jam penuh dengan tekanan dan bebanan. Minit-minit dalam solat pula penuh dengan kerehatan dan ketenangan. Bukankah kita disunatkan mendirikan solat terawih di malam hari pada bulan disiang harinya kita wajib mengosongkan perut? Pada gambaran umum, agak penat bekerja dalam keadaan lapar. Sebelah malamnya pula bersolat? Apakah tiada hikmah yang tersembunyi? Apa guna thoma’ninah dalam solat?  Solat sunat, wajib, empat rakaat atau tiga. Dikerjakan di malam hari atau di nihari. Thoma’ninah itu ada pada semua solat. Pastinya ada hikmat tersirat. Inilah intipati kerehatan dan ketenangan yang ada dalam solat. 
Ibadah puasa disusuli dengan rehat. Pergerakan dalam solat diselangi dengan rehat. Bekerja samada di pejabat, makmal, pusat pentadbiran atau mana-mana lokasi sekali pun perlu di selangi dengan rehat. Dalam solat ada nikmat kerehatan. Tapi pastinya solat yang didirikan bukan atas dasar melangsaikan bebanan. Tapi, solat itu semestinya bertitik tolak dari hati yang sakinah, ingin menemui Allah seketika. Sebagai tanda mengingati-Nya. Mengingatinya adalah ketenangan. Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 14 serta Surah ar-Radh ayat 28 :

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku”
"(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan mengingati Allah". ketahuilah Dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia

MINTA PANDANGAN MELALUI MESYUARAT
Selain dari menjalinkan hubungan dengan Allah, kita juga perlu berinteraksi dengan manusia. Dalam konteks pekerjaan, kita perlu adakan perbincangan. Mesyuarat secara formal atau tidak. Melalui perbincangan, kita akan mampu merungkaikan masalah yang kita hadapi. Perbincangan tidak formal boleh dibuat dari semasa ke semasa samada dengan ketua atau rakan. Bahkan sesetengah keadaan, belum pun rakan mencadangkan sesuatu masalah yang kita utarakan, jawapan tiba-tiba muncul dalam benak fikiran kita. Inilah hikmah dari mesyuarat. Sebab itulah Allah SWT melalui Surah an-Naml  ayat 32 menampilkan kisah teladan bagaimana seorang raja perempuan di zaman nabi Sulaiman meminta pandangan pembesarnya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaKu mengenai perkara Yang Aku hadapi ini; Aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya".


Justeru, kesibukkan dalam bekerja tidak menghalang kita untuk melakukan hubungan kita dengan Allah. Penuh keikhlasan dan ketakwaan. Juga mesra dalam melakukan hubungan sesama manusia. Moga kita akan cemerlang menempuh alam pekerjaan yang penuh cabaran. 

No comments: